RAJA PERMAISURI AGONG RAIKAN KANAK-KANAK KURANG BERKEMAMPUAN DI MAJLIS RAMAH MESRA HARI RAYA AIDILFITRI
KDYMM SPB Raja Permaisuri Agong Raja Zarith Sofiah berkenan berangkat ke Majlis Ramah Mesra Hari Raya Aidilfitri Bersama Kanak-Kanak Kurang Berkemampuan di Istana Negara, hari ini (31 Mac).
Keberangkatan Seri Paduka Baginda diiringi YAM Tunku Tun Aminah Binti Sultan Ibrahim.
Hadir sama, Dato’ Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail; YB Dato’ Sri Nancy Shukri, Menteri Pembangunan Wanita Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) dan YB Hannah Yeoh, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan).
Majlis melibatkan seramai 190 kanak-kanak kurang berkemampuan dari empat negeri iaitu Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Johor, Negeri Sembilan dan Selangor.
Kanak-kanak berkenaan adalah di bawah penyelarasan Jabatan Kebajikan Masyarakat, Jabatan Wilayah Persekutuan dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur.
Turut diraikan pelajar Sekolah Bimbingan Jalinan Kasih di bawah Kementerian Pendidikan dan kanak-kanak dari Fugee School yang diiktiraf penuh oleh United Nations High Commissioner For Refugees (UNHCR).
Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong bersama YAM Tunku Tun Aminah turut berkenan mengurniakan sumbangan dan beramah mesra dengan kanak-kanak yang hadir.
Majlis turut diserikan dengan persembahan dari artis terkenal tanah air yang diselaraskan oleh Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN).
