RAJA PERMAISURI AGONG RAIKAN PELAJAR CEMERLANG SIJIL PELAJARAN MALAYSIA (SPM) DARI GOLONGAN B40 WILAYAH PERSEKUTUAN DAN NEGERI JOHOR
KDYMM SPB Raja Permaisuri Agong Raja Zarith Sofiah berkenan berangkat ke Majlis Penghargaan Pelajar Cemerlang Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dari golongan B40 di Istana Negara, hari ini (29 April).
Keberangkatan Seri Paduka Baginda diiringi YB Fadhlina Sidek, Menteri Pendidikan; Dato’ Ts. Dr. Aminuddin Hassim, Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan dan Datuk Dr. Mohd Azam Ahmad, Ketua Pengarah Pendidikan.
Pada majlis itu, Seri Paduka Baginda berkenan mengurniakan sumbangan kepada keseluruhan 210 pelajar cemerlang SPM dari golongan B40 Wilayah Persekutuan dan negeri Johor.
Daripada jumlah berkenaan, Seri Paduka Baginda juga berkenan mengurniakan sumbangan kepada 10 orang pelajar terbaik SPM seluruh Malaysia dan 10 orang pelajar terbaik Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM).
Seri Paduka Baginda turut berkenan mengurniakan sumbangan kepada pelajar cemerlang SPM dari Sekolah Agama Bantuan Kerajaan dan Maktab Rendah Sains Mara (MRSM).
Majlis turut diserikan dengan persembahan gabungan orkestra Kuala Lumpur, Kumpulan Kesenian Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN), Permata Seni Tari dan Yayasan Warisan Johor (YWJ).
Turut memeriahkan majlis ialah persembahan artis terkenal tanah air seperti Aina Abdul, Ernie Zakri dan Amir Masdi.
