RAJA PERMAISURI AGONG RASMI FESTIVAL TAMAN KUALA LUMPUR 2025
KDYMM SPB Raja Permaisuri Agong Raja Zarith Sofiah berkenan berangkat menyempurnakan majlis perasmian Festival Taman Kuala Lumpur 2025 di Taman Tasik Titiwangsa, hari ini (17 Oktober).
Keberangkatan Seri Paduka Baginda disambut Dato’ Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail, Datuk Seri Dr. Zaliha Mustafa, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) dan Datuk Seri Dr. Maimunah Mohd Sharif, Datuk Bandar Kuala Lumpur.
Pada majlis perasmian berkenaan, Seri Paduka Baginda turut berkenan melawat taman-taman festival yang mengambil bahagian antaranya Malaysia Heritage Garden, Asean Market Place, Environmental Art dan Garden of Heaven.
Penganjuran Festival Taman Kuala Lumpur buat kali kedua ini merupakan inisiatif Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) untuk menjadikan taman-taman bandar sebagai ruang
komuniti yang inklusif, lestari dan mendekatkan rakyat dengan alam hijau di tengah kota metropolitan.
Festival dwitahunan ini dianjurkan bagi menekankan kepentingan kehijauan taman dan nadi bandar, memperkayakan kehidupan urban serta memperkukuh kelestarian.
