RAJA PERMAISURI AGONG SANTUNI WARGA KERJA ISTANA NEGARA DAN KELUARGA PADA
MAJLIS RAMAH MESRA AIDILFITRI
KDYMM SPB Raja Permaisuri Agong Raja Zarith Sofiah berkenan berangkat ke Majlis Ramah Mesra Aidilfitri Bersama Warga Kerja Istana Negara dan Keluarga di Istana Negara, hari ini (14 April).
Keberangkatan SPB Raja Permaisuri Agong diiringi Tan Sri Dato’ Dr Azmi Rohani, Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara dan Puan Sri Datin Dr Nor Azizah Abdul Latif serta Datuk Azuan Effendy Zairakithnaini, Datuk Paduka Maharaja Lela Istana Negara.
Majlis yang berlangsung di Dewan Santapan Utama turut dihadiri Pegawai-Pegawai Kanan Istana Negara.
Majlis melibatkan seramai 1000 tetamu termasuk pasukan keselamatan dan petugas pengurusan fasiliti Istana Negara bersama keluarga.
SPB Raja Permaisuri Agong turut berkenan beramah mesra bersama warga kerja Istana Negara.
Majlis juga diserikan dengan persembahan dari Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN), Yayasan Warisan Johor (YWJ) dan persembahan artis terkenal tanah air, Datuk M Nasir, Hael Husaini, Aisha Retno, Wanie Kayrie serta penampilan khas Zizan Razak dan Sherry Alhadad.
