RAJA PERMAISURI AGONG SELAMAT TIBA KE UZBEKISTAN BAGI LAWATAN KHAS
KDYMM SPB Raja Permaisuri Agong Raja Zarith Sofiah selamat tiba ke Tashkent, Uzbekistan pada hari ini (3 Mei), bersempena Lawatan Khas ke negara itu.
Keberangkatan tiba Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong di Lapangan Terbang Antarabangsa Tashkent pada jam 3.10 petang waktu tempatan disambut Ezozkhon Karimova, Menteri Pendidikan Persekolahan dan Pra Sekolah Uzbekistan dan Usmanov Bobur Masudovich, Timbalan Menteri Luar Negeri Uzbekistan.
Hadir sama, Tuan Yang Terutama Ilham Tuah Illias, Duta Besar Malaysia ke Uzbekistan; Datuk Prof Dr. Azlinda Azman, Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi; Tan Sri Azman Mokhtar, Pengerusi Lembaga Pengarah Universiti Teknologi Malaysia (UTM), dan Prof Ts Dr Mohd Shafry Mohd Rahim, Naib Canselor UTM.
Pada lawatan Khas ini, Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong selaku Canselor UTM bakal menyampaikan titah diraja pada persidangan diraja mengenai ‘Tradisi Saintifik Dalam Ketamadunan Islam: Sumber, Potensi dan Cabaran’ di Pusat Peradaban Islam Antarabangsa (ICC), Tashkent pada 5 Mei.
Turut dijadual hadir, Dato’ Seri Diraja Dr Zambry Abd Kadir, Menteri Pengajian Tinggi.
Raja Permaisuri Agong turut dijadualkan menyaksikan lima pertukaran Memorandum Persefahaman (MoU) antara UTM dan Pusat Ketamadunan Islam serta universiti di Uzbekistan.
