RAJA PERMAISURI AGONG SEMPURNAKAN MAJLIS PENGURNIAAN ANUGERAH SASTERA NEGARA KE-16

RAJA PERMAISURI AGONG SEMPURNAKAN MAJLIS PENGURNIAAN ANUGERAH SASTERA NEGARA KE-16

KDYMM SPB Raja Permaisuri Agong Raja Zarith Sofiah berkenan berangkat menyempurnakan majlis pengurniaan Anugerah Sastera Negara (ASN) ke-16 di M Resort Hotel, Kuala Lumpur, hari ini (6 Ogos).
Keberangkatan tiba Seri Paduka Baginda disambut YB Fadhlina Sidek, Menteri Pendidikan; Datuk Wan Hashim Wan Rahim, Ketua Setiausaha KPM; Datuk Dr. Hazami Jahari, Ketua Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) dan Datuk Dr. Mohd Anuar Rethwan, Pengerusi Lembaga Pengelola DBP.
Pada majlis berkenaan, Seri Paduka Baginda berkenan mengurniakan ASN kepada Allahyarham Abdul Rahman Napiah (Mana Sikana) yang sekali gus membawa gelaran Sasterawan Negara ke-16.
Anugerah berkenaan telah diterima oleh isteri Allahyarham Abdul Rahman Napiah, Puan Hajah Salmah Ali.
Mana Sikana, nama pena Allahyarham merupakan antara tokoh paling berpengaruh dalam sejarah kesusasteraan Melayu moden.
Selama lebih enam dekad, Allahyarham menyumbang sebagai pengarang kreatif, sarjana, pengkritik sastera, ahli teori dan pendidik yang memperkaya perkembangan bahasa, sastera dan tradisi ilmu.
ASN ialah anugerah tertinggi yang dikurniakan oleh Kerajaan Malaysia kepada sasterawan yang menulis dalam bahasa Melayu dan telah memberikan sumbangan yang cemerlang dan berterusan terhadap perkembangan kesusasteraan kebangsaan melalui ciptaan karya kreatif, pemikiran dan kegiatan sastera yang bermutu tinggi.
Anugerah berkenaan merupakan satu usaha berterusan untuk memupuk semangat cinta terhadap bahasa dan kesusasteraan dalam kalangan masyarakat serta menjamin kesinambungan tradisi penulisan yang bermutu tinggi.

Hubungi Kami

Istana Negara
50480 Jalan Tuanku Abdul Halim
Kuala Lumpur

Telefon : 03-6200 1000

Faks : 03-6205 2121