RAJA PERMAISURI AGONG SEMPURNAKAN PENAMAAN DAN PELANCARAN KAPAL TUNKU LAKSAMANA ABDUL JALIL

RAJA PERMAISURI AGONG SEMPURNAKAN PENAMAAN DAN PELANCARAN KAPAL TUNKU LAKSAMANA ABDUL JALIL

KDYMM SPB Raja Permaisuri Agong Raja Zarith Sofiah berkenan berangkat ke Majlis Upacara Penamaan dan Pelancaran Kapal Tunku Laksamana Abdul Jalil di Istanbul Shipyard, Turkiye, hari ini (24 Mei).
Ia merupakan Kapal Misi Pesisir Batch 2 (LMSB2) yang pertama dan memberi penghormatan kepada Almarhum Tunku Abdul Jalil Ibni Sultan Ibrahim, Tunku Laksamana Johor bagi mengabadikan keberanian, ketabahan dan semangat juang Almarhum.
Kapal berkenaan berasaskan reka bentuk korvet ‘ADA Class’ dibina oleh syarikat kejuruteraan maritim STM di Istanbul, Turkiye dan merupakan aset tempur terkini Tentera Diraja Laut Malaysia (TLDM) untuk operasi pelbagai dimensi.
Keberangkatan tiba Raja Permaisuri Agong telah disambut mesra oleh Musa Heybet, Timbalan Menteri Pertahanan Turkiye dan Profesor Ihsan Kaya, Timbalan Setiausaha Perindustrian Perancangan Strategik, Sekretariat Industri Pertahanan Turkiye.
Turut berangkat mengiringi Raja Permaisuri Agong, YAM Tunku Idris Iskandar Al-Haj Ibni Sultan Ibrahim, Tunku Temenggong Johor; YAM Tunku Abdul Rahman Al-Haj Ibni Sultan Ibrahim, Tunku Panglima Johor, dan YAM Tunku Abu Bakar Al-Haj Ibni Sultan Ibrahim, Tunku Putera Johor.
Hadir sama, Dato’ Seri Mohamed Khaled Nordin, Menteri Pertahanan; Datuk Abdul Hadi Omar, Timbalan Ketua Setiausaha (Pembangunan) Kementerian Pertahanan; dan Laksamana Madya Datuk Baharudin Wan Md Nor, Panglima Armada Barat.
“Penamaan kapal ini dengan nama Jalil membawa makna yang besar kepada keluarga kami - buat saya dan suami selaku ibu bapa, serta anak-anak kami selaku adik beradik Almarhum. Ia satu penghormatan yang amat kami hargai.
“Semoga kapal ini diberkati dan semua yang berlayar di atasnya akan sentiasa selamat dan dalam perlindungan,” titah Raja Zarith Sofiah.
Seri Paduka Baginda turut bertitah, pelancaran kapal Tunku Laksamana Abdul Jalil juga membuka lembaran baharu dalam persahabatan lama antara negeri Johor dan Turkiye, yang terjalin sejak tahun 1860-an ketika pemerintahan Almarhum Sultan Abu Bakar.
Pembinaan LMSB2 ini juga menunjukkan kerjasama strategik yang berkesan antara Malaysia dan Turkiye, terutamanya dalam aspek pemindahan teknologi.

Hubungi Kami

Istana Negara
50480 Jalan Tuanku Abdul Halim
Kuala Lumpur

Telefon : 03-6200 1000

Faks : 03-6205 2121