RAJA PERMAISURI AGONG TERIMA MENGADAP ISTERI SETIAUSAHA KERAJAAN JOHOR
KDYMM SPB Raja Permaisuri Agong Raja Zarith Sofiah berkenan menerima mengadap Datin Siti Azizah Omar, isteri kepada Setiausaha Kerajaan Johor, di Istana Bukit Serene, Johor Bahru, hari ini (4 Ogos).
Pada pertemuan itu, Seri Paduka Baginda berkenan membincangkan perancangan untuk program-program kekeluargaan dianjurkan di semua daerah dalam negeri Johor melalui kerjasama antara Yayasan Raja Zarith Sofiah Negeri Johor (YRZSNJ) dan Pejabat-pejabat Daerah.
“Saya berharap untuk mengadakan program sedemikian untuk memberi masyarakat B40 satu ruang untuk bersuka ria seisi keluarga dan mencipta kenangan manis bersama,” titah Seri Paduka Baginda.
Turut hadir, Mohd Masni Wakiman, Pegawai Daerah Johor Bahru bersama isteri, Nurul Asliza Salim; Mohd Ezzuddin Sanusi, Pegawai Daerah Segamat bersama isteri, Engku Noorwidainie Engku Aman; Wan Nor Hanida Wan Ismail, isteri Pegawai Daerah Mersing, dan Hishamuddin Abdul Rahim, Ketua Pegawai Eksekutif YRZSNJ.
