RAJA ZARITH SOFIAH: TRADISI KETAMADUNAN ISLAM MENGINGATKAN AGAMA DAN SAINS BOLEH SEIRING DALAM PERKEMBANGAN ILMU
KDYMM SPB Raja Permaisuri Agong, Raja Zarith Sofiah bertitah tradisi ketamadunan Islam telah menunjukkan bahawa agama dan sains boleh seiring dalam perkembangan ilmu.
“Ada sesetengah aspek sejarah dunia moden yang mengajak untuk membayangkan agama dan sains dalam berpendirian yang saling tegang bertentangan, mahupun bersaing.
“Namun tradisi Islam mengingatkan kita bahawa ini bukan laluannya untuk memahami perkembangan ilmu.
“Sebuah tamadun boleh mengiktiraf akal tanpa memisahkannya daripada wahyu, penyelidikan boleh dialu-alukan tanpa meninggalkan nilai moral, malah penemuan baharu boleh diterokai tanpa melupakan hikmah,” titah Seri Paduka Baginda.
Raja Permaisuri Agong bertitah sedemikian dalam titah ucapan diraja yang menjadi pembuka tirai kepada Persidangan Diraja “Tradisi Sains Dalam Ketamadunan Islam: Sumber, Potensi dan Cabaran” yang berlangsung di Pusat Ketamadunan Islam (CIC), Tashkent, Uzbekistan, hari ini (5 Mei).
Titah Raja Zarith Sofiah, cabaran hari ini bukan hanya untuk menghayati ilmu yang diwariskan kepada tamadun moden hari ini, tetapi juga untuk memperbaharui persekitaran yang membolehkan perkembangan ilmu yang lebih bermakna bagi masa akan datang.
“Kita kini hidup dalam zaman yang diterajui kepantasan, potensi teknikal yang cukup besar, dan penuh kelalaian. Maklumat bergerak pantas, namun penilaian dan pertimbangan tidak selalunya mampu mengikut rentaknya.
“Institusi-institusi mungkin berkembang lebih besar, namun tidak semestinya lebih mendalam. Kuasa mungkin bertambah, sedangkan kejelasan matlamat semakin lemah.
“Persoalan yang kita hadapi adalah mampukah kita mendapatkan semula sebuah visi pengetahuan berprinsip yang jitu dari segi intelek namun pada masa yang sama berpegang teguh pada nilai-nilai murni,” titah Seri Paduka Baginda.
