SEJARAH RINGKAS HUBUNGAN JOHOR DAN TURKIYE
Keberangkatan KDYMM SPB Raja Permaisuri Agong Raja Zarith Sofiah ke Turkiye baru-baru ini menjadi lembaran terbaru dalam perhubungan dua hala yang akrab bersama Malaysia.
Hubungan erat Malaysia-Turkiye telah menyaksikan kerjasama yang baik dalam bidang pertahanan, perdagangan dan diplomasi Islam antarabangsa.
Perhubungan negeri Johor dan Turkiye pula mempunyai sejarah uniknya tersendiri.
Kesultanan Johor Moden yang diasaskan oleh Almarhum Sultan Abu Bakar sekitar pertengahan abad ke-19 banyak mengambil pengaruh sistem pentadbiran luar negara hasil perhubungan diplomasi antarabangsa yang menjadi salah satu kemahiran luar biasa Baginda.
Umum mengetahui akan pengaruh British yang diterapkan ke dalam sistem pemerintahan dan pentadbiran negeri Johor hasil persahabatan akrab Sultan Abu Bakar dengan Queen Victoria.
Namun terdapat pengaruh besar lain yang sebenarnya turut menjadi inspirasi kepada anjakan modenisasi pentadbiran negeri Johor pada zaman itu.
Sebagai sebuah kerajaan Islam, Kesultanan Johor juga menjalin perhubungan yang rapat bersama Empayar Uthmaniyah di Istanbul, yang sedang melalui era “Tanzimat” (pemodenan) pada zaman itu.
Sultan Abu Bakar pernah berangkat ke Istanbul sebanyak dua kali, pertamanya pada tahun 1879 dan seterusnya pada tahun 1893 di mana Baginda telah disambut dengan pengiktirafan serta penuh penghormatan.
Perhubungan akrab ini berasaskan persaudaraan Islam serta perkongsian semangat mempertahankan maruah dan kedaulatan negeri daripada kuasa kolonial Barat.
Kesultanan Johor ketika itu sangat terbuka untuk berinteraksi dengan pelbagai pemikiran dan idea bagi mencari keseimbangan antara perkembangan dunia moden dengan tradisi, budaya dan nilai-nilai Islam.
Johor menjadikan Istanbul sebagai contoh untuk memahami perkembangan arus modenisasi ketika berdepan dengan tekanan penjajahan Barat, namun terus mengekalkan autonomi budaya dan identiti Melayu Islam.
Cara pemerintahan dan pentadbiran Empayar Uthmaniyah memberi sumbangan besar kepada pembentukan sistem kerajaan dan perundangan Kesultanan Johor Moden menerusi Majalah Ahkam Johor.
Malah, ia juga mempengaruhi penggubalan Undang-Undang Tubuh Kerajaan Johor 1895, perlembagaan bertulis yang pertama digubal di Tanah Melayu.
Bendera Negeri Johor yang digunakan sehingga hari ini dan direka oleh Sultan Abu Bakar pada tahun 1871 juga mencerminkan pengaruh dan persahabatan akrab dengan Empayar Uthmaniyah, serta menjadi simbol strategik kedaulatan negeri Johor pada zaman itu kepada penjajah Barat.
Hubungan ini tumbuh lebih mendalam daripada sekadar hubungan diplomatik apabila turut berkembang melalui pertalian keluarga, serta perkongsian warisan budaya yang terus dapat dilihat hingga ke hari ini.
Antara keturunan keluarga kenamaan di negeri Johor yang mempunyai pertalian darah ke Turkiye adalah keluarga Allahyarham Tun Hussein Onn, Perdana Menteri Malaysia ke-3; Allahyarham Profesor Diraja Ungku Abdul Aziz Abdul Hamid, dan Allahyarham Profesor Diraja Tan Sri Syed Muhammad Naquib Al-Attas.
Kesemuanya bersaudara melalui Datin Rogayah Hanum Abdullah, seorang puteri keturunan Circassia dari Empayar Uthmaniyah. Kekandanya, Khadijah Hanum juga telah berkahwin dengan Sultan Abu Bakar dan bergelar Sultanah.
Pengaruh Uthmaniyah di Johor turut terserlah melalui seni bina mercu tanda utama di dalam negeri, seperti Masjid Sultan Abu Bakar yang siap dibina sepenuhnya oleh artisan Melayu tempatan pada tahun 1900.
Diadaptasikan daripada hasil penulisan:
Profesor Dr. Ismail Hakki Kadi,
Pengarah Sekolah Siswazah dan Profesor Jabatan Sejarah Fakulti Kesenian,
Universiti Istanbul Medeniyet
Dr Yakoob Ahmed,
Penyelidik Bebas,
Mantan Profesor Madya Institut Pengajian Islam,
Universiti Istanbul
