SELAMAT ULANG TAHUN KEPUTERAAN DYAM TUNKU MAHKOTA ISMAIL

SELAMAT ULANG TAHUN KEPUTERAAN DYAM TUNKU MAHKOTA ISMAIL

DYAM Tunku Mahkota Ismail, Pemangku Sultan Johor diputerakan pada 30 Jun 1984 di Johor Bahru, merupakan putera sulung KDYMM SPB Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim dan KDYMM SPB Raja Permaisuri Agong Raja Zarith Sofiah.
DYAM Tunku Mahkota Ismail mendapat pendidikan awal persekolahan di Sekolah Sri Utama Johor Bahru dan di Sekolah Rendah Kebangsaan St.Joseph, Johor Bahru dan seterusnya melanjutkan persekolahan di Australian International School Singapore dan di Hale School, Perth, Australia sehingga akhir tahun 2002.
Dengan titah perkenan Seri Paduka nendanya Almarhum Sultan Iskandar, Tunku Mahkota Ismail menjalani latihan ketenteraan sebagai Pegawai Kadet di 'Indian Military Academy (I.M.A), Dehradun, India pada 17 Julai 2003 hingga 11 Disember 2004 dan ditauliahkan pangkat Leftenan dalam upacara tamat latihan.
DYAM Tunku Mahkota Ismail berkhidmat di Unit 61 Cavalry Tentera Darat India, Jaipur dari 2004 hingga 2006. Kehebatan Baginda dalam berkuda diiktiraf dengan anugerah 'Best In Riding' di Indian Military Academy (I.M.A).
DYAM Tunku Mahkota Ismail turut mencatat sejarah apabila menjadi rakyat asing pertama menyertai rejimen berkuda tentera India memberi tabik hormat kepada Presiden India, A.P.J. Abdul Kalam sempena sambutan Hari Kebangsaan India ke-58 pada 20 Januari 2007 yang dihadiri ramai tetamu kenamaan termasuk Presiden Rusia Vladimir Putin.
Pada 14 Julai hingga 23 September 2008, Tunku Mahkota Ismail telah melaksanakan Kursus Kepakaran Gerak Khas di Kem Iskandar, Mersing dan pada 9 Oktober hingga 19 November 2008 mengikuti Kursus Asas Payung Terjun di Pusat Latihan Peperangan Khusus (PULPAK). Pada 1 Ogos 2010, DYAM Tunku Mahkota Ismail dianugerahi Beret Hijau Kehormat Grup Gerak Khas (GGK).
Minat mendalam DYAM Tunku Mahkota Ismail terhadap arena bola sepak membawa kepada pelantikan Baginda sebagai Presiden Persatuan Bola Sepak Negeri Johor pada 16 Februari 2012.
Di bawah kepimpinan dan visi Baginda, pasukan bola sepak Johor berjaya dibangunkan semula serta diangkat menjadi sebuah entiti sukan yang berprestasi tinggi dan disegani di pelbagai peringkat.
Tunku Mahkota Ismail dilantik sebagai Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) bagi penggal 2017-2021 pada Kongres FAM ke-53, 25 Mac 2017.
Pada 2 Disember 2022, DYAM Tunku Mahkota Ismail dimasyhurkan sebagai Canselor Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) pada Istiadat Pemasyhuran Canselor, Pro-Canselor dan Konvokesyen Ke-22 di Dewan Sultan Ibrahim.
DYAM Tunku Mahkota Ismail dimasyhurkan sebagai Pro-Canselor Kolej Universiti Islam Johor Sultan Ibrahim (KUIJSI) pada Majlis Konvokesyen KUIJSI ke-21 pada 13 Disember 2023.
Pada 28 Januari 2024, Baginda dilantik sebagai Pemangku Sultan Johor apabila ayahandanya dipilih sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-17.
DYAM Tunku Mahkota Ismail mendirikan rumah tangga bersama YAM Che Puan Mahkota Khaleeda Johor pada 24 Oktober 2014 dan dikurniakan lima cahaya mata.

Hubungi Kami

Istana Negara
50480 Jalan Tuanku Abdul Halim
Kuala Lumpur

Telefon : 03-6200 1000

Faks : 03-6205 2121