SUKARELAWAN MAJLIS PENGHARGAAN SEMPENA IBADAH KORBAN SUNAT PERIBADI YANG DI-PERTUAN AGONG 1447H/2026M
Seramai 60 orang sukarelawan yang terdiri daripada pelbagai Bahagian, Seksyen dan Unit di Istana Negara telah bersama membantu dalam aktiviti merewang dan memasak bagi Majlis Penghargaan Sempena Ibadah Korban Sunat Peribadi KDYMM SPB Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim 1447H/2026M yang telah berlangsung pada 10 Jun 2026. Sukarelawan ini diketuai oleh Lt Kol Nor Huzilawati binti Hussin, Penyelia Istana Negara.
Seawal pagi 9 Jun 2026, para sukarelawan telah berganding bahu melaksanakan pelbagai tugasan dan persiapan bagi memastikan majlis dapat berjalan dengan lancar, teratur dan sempurna. Dengan semangat muafakat serta kerjasama yang tinggi, mereka telah bertungkus-lumus merewang, memasak, menyediakan bahan mentah, mengurus penyediaan hidangan serta membantu urusan logistik dan penyelarasan majlis mengikut keperluan yang telah ditetapkan.
Manakala pada 10 Jun 2026, para sukarelawan ini menyantuni dan menyediakan makanan dan minuman kepada para tetamu yang hadir.
Penglibatan para sukarelawan ini bukan sahaja mencerminkan komitmen dan dedikasi yang tinggi, malah turut memperlihatkan semangat kebersamaan serta budaya kerja berpasukan yang sentiasa menjadi amalan warga Istana Negara. Kesanggupan mereka meluangkan masa dan menyumbangkan tenaga dalam menjayakan majlis ini amat dihargai dan menjadi antara faktor penting yang menyumbang kepada kelancaran keseluruhan pelaksanaan program.
Setinggi-tinggi penghargaan dan ucapan terima kasih dirakamkan kepada semua sukarelawan yang telah memberikan kerjasama, komitmen dan khidmat bakti sepanjang menjayakan majlis ini. Semoga segala usaha, pengorbanan dan sumbangan yang dicurahkan menjadi amal kebajikan yang diterima serta dikurniakan ganjaran dan keberkatan oleh Allah SWT.
