SULTAN IBRAHIM DIPERSEMBAHKAN TAKLIMAT MENGENAI PERKEMBANGAN SEMASA EKONOMI DAN KESELAMATAN NEGARA
KDYMM SPB Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim berkenan dipersembahkan taklimat mengenai perkembangan semasa ekonomi dan keselamatan negara.
Seri Paduka Baginda turut berkenan dipersembahkan taklimat kos sara hidup serta langkah-langkah yang diambil kerajaan bagi memastikan pertumbuhan ekonomi kekal mampan.
Selain itu, taklimat turut menyentuh aspek keselamatan negara meliputi keselamatan dalam negeri, kawalan sempadan serta kesiapsiagaan pasukan keselamatan.
Seri Paduka Baginda turut mengambil maklum langkah berjimat yang dilaksanakan kerajaan dalam usaha memperkukuh kedudukan kewangan negara.
Seri Paduka Baginda bertitah bahawa pendekatan berhemah dalam perbelanjaan awam adalah penting bagi memastikan sumber negara diurus secara cekap dan berkesan, terutama dalam menghadapi cabaran ekonomi global yang tidak menentu.
Sesi taklimat berkenaan mencerminkan keprihatinan Seri Paduka Baginda terhadap perkembangan semasa negara.
Terdahulu, Sultan Ibrahim berkenan menerima mengadap YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim, Perdana Menteri.
Hadir sama, Datuk Raja Nushirwan Zainal Abidin Ketua Pengarah Keselamatan Negara dan YM Tan Sri Tengku Muhammad Taufik Tengku Kamadjaja Aziz, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan PETRONAS.
Pertemuan bersama Seri Paduka Baginda berlangsung di Istana Bukit Tunku, Kuala Lumpur pada hari ini (31 Mac).
