SULTAN IBRAHIM KURNIA SUMBANGAN PERIBADI KEPADA 41 KELUARGA MANGSA KEBAKARAN KAMPUNG TELUK JAWA
Keprihatinan KDYMM SPB Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim terhadap nasib rakyat yang ditimpa musibah dizahirkan menerusi kurniaan bantuan segera kepada mangsa kebakaran di Kampung Teluk Jawa, hari ini (13 Februari).
Seramai 41 keluarga yang terjejas menerima sumbangan peribadi daripada Seri Paduka Baginda iaitu wang tunai sebanyak RM 2,000 setiap keluarga melalui Yayasan Sultan Ibrahim Johor (YSIJ) dalam satu majlis ringkas yang diadakan di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Dewan Muafakat Taman Megah Ria.
Kurniaan ini antara lain dapat meringankan beban kewangan mangsa yang kebanyakannya adalah nelayan dan bekerja sendiri.
Selain wang tunai, YSIJ turut menyampaikan bantuan barangan keperluan asas melalui 'Kit Bencana’, merangkumi cerek dan periuk nasi elektrik, tilam lipat, t-shirt, telekung dan air mineral.
Sumbangan disampaikan oleh Dato' Avinderjit Singh, Pemegang Amanah Urusan YSIJ diiringi Dato’ Mohd Haffiz Ahmad, Datuk Bandar Majlis Bandaraya Johor Bahru, Encik Masni Wakiman, Pegawai Daerah Johor Bahru dan YB Liow Cai Tung, ADUN Johor Jaya.
Mohd Masni Wakiman, Pegawai Daerah Johor Baru dan juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah (JPBD) Johor Bahru menjunjung kasih kepada Seri Paduka Baginda di atas kurniaan dan keprihatinan terhadap mangsa kebakaran.
“Menjunjung setinggi-tinggi kasih atas kurniaan dan keprihatinan Seri Paduka Baginda terhadap mangsa kebakaran di Kampung Teluk Jawa ini.
“Pihak kami dan beberapa agensi kerajaan yang lain akan memastikan kesejahteraan semua mangsa sentiasa terpelihara dan mereka mendapat tempat tinggal yang sewajarnya dengan kadar segera,” katanya.
Sementara itu mangsa, Uji Jumaat, 49, manzahirkan rasa syukur di atas sumbangan peribadi daripada Seri Paduka Baginda buat keluarganya yang kini tinggal sehelai sepinggang.
“Tiada apa yang dapat diselamatkan. Dengan sumbangan yang dihulurkan, sekurang-kurangnya kami boleh meneruskan kehidupan. Menjunjung kasih Yang di-Pertuan Agong kerana membantu kami," katanya.
Kebakaran yang berlaku pada 12 Februari, kira-kira jam 7.04 pagi memusnahkan 30 daripada 42 rumah perkampungan Orang Asli yang didirikan di atas air.
