SULTAN IBRAHIM MELAKAR SEJARAH KETUA NEGARA MALAYSIA PERTAMA HADIR SAMBUTAN HARI KEMENANGAN DI MOSCOW
KDYMM SPB Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim melakar sejarah apabila menjadi Ketua Negara Malaysia pertama dijemput sebagai Tetamu Kehormat ke Sambutan Ulang Tahun Ke-81 Hari Kemenangan di Moscow, Persekutuan Rusia di Dataran Merah pada hari ini (9 Mei).
Jemputan khas daripada TYT Vladimir V Putin, Presiden Persekutuan Rusia kepada Seri Paduka Baginda untuk berangkat ke sambutan berkenaan mencerminkan pengiktirafan tertinggi Kerajaan Rusia terhadap Malaysia.
Seri Paduka Baginda turut berkenan berangkat menyaksikan perarakan ketenteraan bersama Presiden Putin serta para tetamu kehormat lain.
Antara pemimpin yang hadir, Aleksandr Lukashenko, Presiden Republik Belarus; Shavkat Mirziyoyev, Presiden Republik Uzbekistan; Kassym-Jomart Tokayev, Presiden Republik Kazakhstan, Thongloun Sisoulith, Presiden Laos dan Robert Fico, Perdana Menteri Slovakia.
Hari Kemenangan disambut setiap tahun dengan penuh istiadat diiringi Perarakan Ketenteraan di Dataran Merah, Moscow.
Sambutan bersejarah ini bertujuan memperingati kemenangan Kesatuan Soviet dalam Perang Dunia Kedua dari tahun 1941 hingga 1945.
Keberangkatan Seri Paduka Baginda ke Moscow sebagai Tetamu Kehormat bukan sahaja mencerminkan kedudukan Malaysia yang semakin dihormati di persada antarabangsa, malah menzahirkan peranan Institusi Diraja yang amat penting dalam pengukuhan hubungan antarabangsa bagi manfaat bersama.
