SULTAN IBRAHIM SAKSIKAN DEMONSTRASI UDARA SUKHOI SU-57E OLEH HERO OF RUSSIA - SERGEI BOGDAN
KDYMM SPB Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim berkenan berangkat menyaksikan demonstrasi jet pejuang pelbagai peranan generasi kelima, Sukhoi Su-57E di Lapangan Terbang Antarabangsa Zhukovsky, Moscow pada hari ini (8 Mei).
Jet pejuang itu dipandu oleh Sergei Bogdan,
juruterbang ujian terkenal Rusia, berusia 64 tahun yang juga penerima gelaran “Hero of Russia”.
Bogdan merupakan juruterbang ujian utama syarikat pengeluar pesawat Sukhoi sejak tahun 2000 dan dikenali sebagai individu penting dalam program pembangunan pesawat tempur generasi kelima Rusia.
Demonstrasi udara selama hampir tujuh minit itu mempamerkan keupayaan teknologi ketenteraan moden Persekutuan Rusia termasuk kecanggihan sistem radar serta kemampuan operasi pelbagai peranan dimiliki jet pejuang berkenaan.
Seri Paduka Baginda turut berkenan dipersembahkan taklimat mengenai jet pejuang berkenaan selain meluangkan masa melihat ruangan dalaman Su-57E sebaik ia mendarat selepas melakukan demonstrasi udara.
Mengiringi bersama Seri Paduka Baginda ialah
YB Dato’ Seri Mohamed Khaled Nordin, Menteri Pertahanan dan TYT Dato’ Cheong Loon Lai, Duta Besar Malaysia ke Persekutuan Rusia.
Terdahulu, keberangkatan tiba Seri Paduka Baginda disambut oleh Mikhail Petukhov, Timbalan Pengarah Perkhidmatan Persekutuan bagi Kerjasama Ketenteraan-Teknikal
Rusia (FSMTC).
Sultan Ibrahim berangkat tiba di Moscow kelmarin di atas jemputan khas Kerajaan Persekutuan Rusia sebagai tetamu kehormat menjelang sambutan Ulang Tahun Hari Kemenangan, esok (9 Mei).
