SULTAN IBRAHIM: SINGAPURA LEBIH DARI SEKADAR NEGARA JIRAN

SULTAN IBRAHIM: SINGAPURA LEBIH DARI SEKADAR NEGARA JIRAN

KDYMM SPB Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim bertitah Singapura adalah lebih dari sekadar salah sebuah negara jiran terdekat dengan Malaysia.
Seri Paduka Baginda bertitah negara pulau berkenaan merupakan rakan kongsi yang amat dihargai serta antara pemacu utama perdagangan dan pelaburan dalam negara.
“Perdagangan dua hala yang terus mencatatkan pertumbuhan tatkala keadaan ekonomi global yang tidak menentu mencerminkan keutuhan hubungan dua hala Malaysia dan Singapura.
“Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ) juga mencerminkan kerjasama kita untuk memajukan pertumbuhan ekonomi serantau serta mewujudkan peluang baharu dalam ASEAN,” titah Sultan Ibrahim.
Yang di-Pertuan Agong bertitah demikian dalam pertemuan bersama TYT Tharman Shanmugaratnam, Presiden Republik Singapura dalam Istiadat Sambutan Negara Sempena Lawatan Negara Presiden Singapura ke Malaysia, di Istana Negara, Kuala Lumpur, hari ini (13 Julai).
Seri Paduka Baginda turut menyuarakan keyakinan bahawa pelancaran Sistem Transit Segera Johor Bahru-Singapura (RTS Link) di akhir 2026 akan mengukuhkan lagi jaringan keterhubungan Malaysia dan Singapura.
“Bersama dengan JS-SEZ, saya yakin RTS Link akan memainkan peranan penting dalam menarik pelaburan serta mengukuhkan kedudukan Malaysia dan Singapura sebagai pintu masuk utama ke pasaran ASEAN,” titah Yang di-Pertuan Agong.

Hubungi Kami

Istana Negara
50480 Jalan Tuanku Abdul Halim
Kuala Lumpur

Telefon : 03-6200 1000

Faks : 03-6205 2121