WARKAH TAHNIAH BUAT CIK BALVINDER DHILLON MENGHARUMKAN NAMA NEGARA DALAM BIDANG PENYELIDIKAN PERUBATAN

WARKAH TAHNIAH BUAT CIK BALVINDER DHILLON MENGHARUMKAN NAMA NEGARA DALAM BIDANG PENYELIDIKAN PERUBATAN
KDYMM SPB Raja Permaisuri Agong Raja Zarith Sofiah berkenan mengutuskan warkah mengucapkan tahniah kepada Balvinder Dhillon, yang telah mengharumkan nama Malaysia di persada antarabangsa dalam bidang penyelidikan perubatan.
Sejak tahun lalu, siswazah jurusan kejuruteraan bio-perubatan berusia 24 tahun itu telah memenangi dua anugerah tahunan berturut-turut yang berprestij tinggi, “Global Undergraduate Awards”, yang turut dikenali sebagai “Junior Nobel Prize” di Dublin, Ireland.
Anugerah yang pertama dimenangi tahun lalu ketika beliau menuntut di Queen Mary University of London.
Balvinder kini menuntut di Imperial College, London, dalam bidang Robotik Kemanusiaan dan Biologi.
Warkah Raja Permaisuri Agong telah diserahkan oleh En Zulfadli Zakaria, Pegawai Pentadbir (Pentadbiran) Istana Negara di pejabat Suruhanjaya Tinggi Malaysia di London, semalam (15 Disember).
Menzahirkan kesyukuran atas pengiktirafan daripada Raja Permaisuri Agong, Balvinder berharap kejayaan ini memberi inspirasi kepada generasi muda Malaysia untuk mengejar kecemerlangan dalam bidang masing-masing demi manfaat masa depan negara.
“Warkah daripada Tuanku Permaisuri ini amatlah bermakna kerana mengiktiraf bukan sahaja usaha saya sendiri, malah juga sokongan padu keluarga saya, para mentor dan negara yang saya banggakan.
“Ini sebuah peringatan bahawa Malaysia sentiasa mampu menghasilkan bakat bertaraf dunia, saya amat menjunjung kasih,” katanya.

Hubungi Kami

Istana Negara
50480 Jalan Tuanku Abdul Halim
Kuala Lumpur

Telefon : 03-6200 1000

Faks : 03-6205 2121