YANG DI-PERTUAN AGONG ALU-ALUKAN USAHA PENGUKUHAN UNDANG-UNDANG
KDYMM SPB Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim bertitah mengalu-alukan usaha Kerajaan Persekutuan ke arah mengukuhkan undang-undang negara.
“Ini termasuk usaha untuk menghadkan tempoh jawatan Perdana Menteri kepada dua penggal atau 10 tahun, mengasingkan peranan Peguam Negara dan Pendakwa Raya, serta pengenalan Akta Kebebasan Maklumat dan Institusi Ombudsman,” titah Seri Paduka Baginda.
Yang di-Pertuan Agong bertitah demikian pada Titah Diraja bersempena Istiadat Pembukaan Penggal Kelima Parlimen Ke-15 pada hari ini (19 Januari).
Sultan Ibrahim bertitah negara turut berhadapan dengan ancaman moden terhadap keselamatan digital, integriti maklumat serta teknologi “deep fake” yang membuka ruang kepada kes penipuan dan menggugat kestabilan sosial.
“Ancaman jenayah berat dan keganasan serta perbuatan yang menyentuh ‘3R’ hendaklah juga ditangani dengan berkesan.
“Oleh yang demikian, undang-undang berhubung keselamatan negara dan ancaman luar negara wajar diwujudkan segera kerana hanya dengan cara ini, keharmonian antara kaum dan kedaulatan negara akan sentiasa terpelihara,” titah Seri Paduka Baginda.
