YANG DI-PERTUAN AGONG BERANGKAT KE BAHRAIN BAGI LAWATAN NEGARA KEDUA
KDYMM SPB Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim berangkat ke Bahrain bagi lawatan negara kedua selepas selesai lawatan Seri Paduka Baginda ke Arab Saudi.
Lawatan negara ke Bahrain ini adalah bagi memenuhi persilaan daripada Raja Hamad bin Isa Al-Khalifa, Raja Bahrain, dan julung kali diadakan sejak terjalinnya hubungan diplomatik bersama Malaysia pada tahun 1974.
Turut berangkat ke Bahrain mengiringi Seri Paduka Baginda, YAM Tunku Idris Iskandar Al-Haj Ibni Sultan Ibrahim, Tunku Temenggong Johor; YAM Tunku Abdul Rahman Al-Haj Ibni Sultan Ibrahim, Tunku Panglima Johor, dan YAM Tunku Abu Bakar Al-Haj Ibni Sultan Ibrahim, Tunku Putera Johor.
Pesawat peribadi Seri Paduka Baginda berlepas dari Terminal Diraja Lapangan Terbang Antarabangsa Raja Khalid, Riyadh pada jam 2.30 petang waktu tempatan (7.30 malam waktu Malaysia).
Hadir bagi menghantar keberangkatan Yang di-Pertuan Agong, Putera Mohammed bin Abdulrahman bin Abdulaziz Al-Saud, Timbalan Gabenor Riyadh dan Putera Faisal bin Abdulaziz bin Ayyaf, Datuk Bandar Riyadh.
Sultan Ibrahim menzahirkan kesyukuran kerana lawatan negara ke Arab Saudi telah berjalan lancar dan berterima kasih kepada Kerajaan Arab Saudi kerana menerima keberangkatan Seri Paduka Baginda dan memberi layanan yang cukup baik.
“Saya amat menghargai perbualan mesra bersama Putera Mohammed bin Salman bin Abdulaziz Al-Saud yang penuh bermakna dan menegaskan hasrat untuk terus mengukuhkan kejayaan yang telah dicapai bersama selama ini.
“Pengetahuan, semangat dan visi Putera Mohammed dalam mentransformasikan Arab Saudi di bawah Visi 2030 cukup menginspirasikan saya.
“Saya berharap hubungan kedua-dua negara kita akan terus kukuh dalam segala aspek, In Shaa Allah,” titah Seri Paduka Baginda.
