YANG DI-PERTUAN AGONG BERANGKAT KE ISTIADAT MENGARAK PANJI-PANJI SEMPENA SAMBUTAN ULANG TAHUN HARI KEPUTERAAN RASMI BAGI TAHUN 2026
KDYMM SPB Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim berkenan berangkat ke Istiadat Mengarak Panji-Panji Yang di-Pertuan Agong di Dataran Pahlawan Negara, Putrajaya, hari ini (5 Jun).
Istiadat Mengarak Panji-Panji merupakan antara acara rasmi sempena sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan Rasmi KDYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong bagi tahun 2026.
Turut berangkat mengiringi Seri Paduka Baginda, YAM Tunku Idris Iskandar Al-Haj Ibni Sultan Ibrahim, Tunku Temenggong Johor.
Keberangkatan tiba Sultan Ibrahim disambut YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim, Perdana Menteri; Dato’ Sri Fadillah Yusof, Timbalan Perdana Menteri dan Dato Seri Mohamed Khaled Nordin, Menteri Pertahanan.
Seri Paduka Baginda kemudiannya menerima hormat diraja dengan alunan lagu Negaraku dimainkan.
Sebanyak 21 das tembakan kehormatan turut dilepaskan oleh 41 Bateri Rejimen Artileri Diraja (Istiadat) diketuai Mejar Hafizah Mat Ghani.
Seri Paduka Baginda turut berkenan memeriksa perbarisan yang terdiri daripada 25 pegawai dan 510 anggota ketiga-tiga cabang perkhidmatan ATM diketuai Leftenan Kolonel Azlan Shah Baharom, Pegawai Memerintah Batalion Kelima Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD).
Panji-Panji merupakan satu penghormatan dan lambang kemegahan, semangat serta ketaatsetiaan yang tidak berbelah bahagi oleh ATM terhadap Raja dan Negara.
Dari sudut sejarah, Panji-Panji berasal daripada bendera yang digunakan oleh suatu ketumbukan angkatan tentera pada zaman dahulu.
Dalam era moden, Panji-Panji serta upacara mengaraknya menyumbang kepada lambang perhubungan sesuatu pasukan atau ketumbukan dengan institusi Diraja dan kerajaan di bawah naungan Baginda.
Istiadat Mengarak Panji-Panji diadakan tiga kali dalam tempoh lima tahun pemerintahan bagi setiap Raja Melayu yang dilantik sebagai Seri Paduka Yang di-Pertuan Agong iaitu bagi tahun pertama, tahun ketiga dan tahun terakhir pemerintahan.
