YANG DI-PERTUAN AGONG BERANGKAT KE ISTIADAT PERBARISAN PERTUKARAN PANJI-PANJI SERI PADUKA BAGINDA

YANG DI-PERTUAN AGONG BERANGKAT KE ISTIADAT PERBARISAN PERTUKARAN PANJI-PANJI SERI PADUKA BAGINDA
 
KDYMM SPB Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim berkenan berangkat menyempurnakan Istiadat Perbarisan Pertukaran Panji-Panji Seri Paduka Baginda di Dataran Kawad Panglima Tentera Darat, Kem Perdana Sungai Besi, Kuala Lumpur, hari ini (23 Oktober).
 
Turut berangkat mengiringi Sultan Ibrahim, YAM Tunku Abdul Rahman Al-Haj Ibni Sultan Ibrahim, Tunku Panglima Johor, dan YAM Tunku Abu Bakar Al-Haj Ibni Sultan Ibrahim, Tunku Putera Johor.
 
Keberangkatan tiba Seri Paduka Baginda disambut YB Dato' Seri Mohamed Khaled Nordin, Menteri Pertahanan dan Jeneral Tan Sri Mohd Nizam Jaffar, Panglima Angkatan Tentera.
Hadir sama, Jeneral Tan Sri Muhammad Hafizuddeain Jantan, Panglima Tentera Darat; Laksamana Tan Sri (Dr.) Zulhelmy Ithnain, Panglima Tentera Laut dan Jeneral Dato' Sri Muhamad Norazlan Aris, Panglima Tentera Udara.
 
Istiadat Perbarisan dan Pertukaran Panji-Panji dilaksanakan oleh Angkatan Tentera Malaysia (ATM) apabila terdapat keperluan penggantian Panji-Panji baharu bagi menggantikan yang lama dan lusuh.
 
Istiadat yang penuh adat ketenteraan berkenaan juga merupakan yang julung kali diadakan sejak Seri Paduka Baginda menaiki takhta sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-17 dan Pemerintah Tertinggi Angkatan Tentera.
 
Ia juga merupakan kali pertama ketiga-tiga panji berkenaan ditukar secara serentak.
Istiadat yang melibatkan kekuatan 34 pegawai dan 430 anggota tentera dimulai dengan Hormat Diraja, diikuti perarakan keluar Panji-Panji Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong lama serta Pentauliahan dan Penganugerahan Panji-Panji baharu.
 
Seri Paduka Baginda turut berkenan memeriksa baris dengan menaiki kenderaan khas dan memberi tabik hormat kepada detasmen-detasmen yang terlibat dalam Perbarisan.

Hubungi Kami

Istana Negara
50480 Jalan Tuanku Abdul Halim
Kuala Lumpur

Telefon : 03-6200 1000

Faks : 03-6205 2121