YANG DI-PERTUAN AGONG BERANGKAT MELAWAT KEMENTERIAN DALAM NEGERI BAHRAIN
Bersempena lawatan negara, KDYMM SPB Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim berangkat melawat Kementerian Dalam Negeri Bahrain di Manama, hari ini (8 November).
Keberangkatan Seri Paduka Baginda diiringi Raja Hamad bin Isa Al-Khalifa, Raja Bahrain.
Ketibaan Baginda berdua di kementerian berkenaan disambut Leftenan Jeneral Shaikh Rashid bin Abdullah Al-Khalifa, Menteri Dalam Negeri.
Turut berangkat, YAM Tunku Idris Iskandar Al-Haj Ibni Sultan Ibrahim, Tunku Temenggong Johor; YAM Tunku Abdul Rahman Al-Haj Ibni Sultan Ibrahim, Tunku Panglima Johor dan YAM Tunku Abu Bakar Al-Haj Ibni Sultan Ibrahim, Tunku Putera Johor.
Bersempena lawatan berkenaan, Yang di-Pertuan Agong diraikan dengan lagu Negaraku.
Seri Paduka Baginda turut berkenan memeriksa perbarisan kawalan kehormat dengan diiringi Raja Bahrain diikuti persembahan kawad senyap dan pancaragam oleh Bahrain Police Band.
