YANG DI-PERTUAN AGONG BERKENAN BERANGKAT KE MAJLIS RUMAH TERBUKA AIDILFITRI ISTANA JOHOR
KDYMM SPB Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim berkenan berangkat ke Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Istana Johor di Padang Kawat, Istana Besar Johor, hari ini (22 Mac).
Berangkat sama, KDYMM SPB Raja Permaisuri Agong Raja Zarith Sofiah.
Majlis turut diserikan dengan keberangkatan DYAM Tunku Mahkota Ismail, Pemangku Sultan Johor dengan diringi YAM Che’ Puan Mahkota Khaleeda Johor dan DYAM Tunku Iskandar Ibni Tunku Ismail, Raja Muda Johor serta paduka anakanda.
Berangkat sama, YAM Tunku Idris Iskandar Al-Haj Ibni Sultan Ibrahim, Tunku Temenggong Johor; YAM Tunku Abdul Rahman Al-Haj Ibni Sultan Ibrahim, Tunku Panglima Johor dan YAM Tunku Abu Bakar Al-Haj Ibni Sultan Ibrahim, Tunku Putera Johor.
YAM Tunku Tun Aminah Binti Sultan Ibrahim dan suami, Dato’ Dennis Muhammad Abdullah turut berangkat sama.
Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Istana Johor menerima kehadiran kira-kira 25,000 pengunjung daripada pelbagai lapisan masyarakat yang tidak melepaskan peluang untuk bersalaman dan beramah mesra bersama Keluarga Diraja Johor dalam suasana penuh mesra serta harmoni.
