YANG DI-PERTUAN AGONG BERKENAN KURNIA KEBENARAN PENGGUNAAN AIR BOAT MILIK BAGINDA BAGI OPERASI MENYELAMAT BANJIR
KDYMM SPB Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim berkenan mengurniakan kebenaran kepada Kerajaan Persekutuan untuk menggunakan dua air boat berkuasa tinggi milik Baginda, sebagai antara aset operasi menyelamat ketika berlakunya musibah banjir.
Seri Paduka Baginda menzahirkan perkenan itu berikutan keadaan cuaca tidak menentu ketika ini, selain sebagai persediaan agensi keselamatan dalam melaksanakan misi menyelamat jika berlaku gelombang kedua banjir.
Kedua-dua air boat berkenaan kini ditempatkan di Istana Negara, dan ia dilihat mampu meningkatkan kecekapan operasi, selain dapat mempercepatkan penghantaraan bantuan kecemasan.
Mengimbas kembali, pada Mac 2023, tiga air boat milik Seri Paduka Baginda digerakkan bagi operasi menyelamat, memindahkan serta membantu mangsa-mangsa banjir di Johor.
Sewaktu itu, aset berkenaan digunakan bagi tujuan penghantaraan bekalan makanan ke penempatan Orang Asli yang terputus hubungan di kawasan Kluang.
