YANG DI-PERTUAN AGONG BERKENAN SEMPURNAKAN ISTIADAT PENGURNIAAN SURAT CARA PELANTIKAN DAN ISTIADAT MENGANGKAT SUMPAH JAWATAN MENTERI DAN TIMBALAN MENTERI PERSEKUTUAN
KDYMM SPB Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim berkenan berangkat menyempurnakan Istiadat Pengurniaan Surat Cara Pelantikan dan Istiadat Mengangkat Sumpah Jawatan dan Setia serta Sumpah Simpan Rahsia oleh Menteri dan Timbalan Menteri Persekutuan di Istana Negara, hari ni, (17 Disember).
Istiadat yang berlangsung di Singgahsana Kecil Istana Negara melibatkan tujuh Menteri dan lapan Timbalan Menteri.
Seri Paduka Baginda berkenan mengurniakan surat cara pelantikan kepada Menteri Yang Berhormat (YB) Dato’ Sri Arthur Joseph Kurup; YB Dato’ Sri Dr. Noraini Ahmad; YB Dato’ Sri Ramanan Ramakrishnan dan YB Akmal Nasrullah Mohd Nasir.
Selain itu, turut dikurniakan surat cara pelantikan sebagai Menteri adalah YB Datuk Ts. Mustapha @ Mohd Yunus Sakmud; YB Senator Dr Zulkifli Hasan dan YB Dr. Mohammed Taufiq Johari.
Seri Paduka Baginda turut berkenan mengurniakan Surat Cara Pelantikan Timbalan Menteri kepada YB Sim Tze Tzin; YB Dato’ Indera Mohd Shahar Abdullah; YB Yuneswaran Ramaraj dan YB Mordi Bimol.
Selain itu, Syed Ibrahim Syed Noh; YB Chew Cun Man; YB Datuk Lo Su Fui dan YB Marhamah Rosli turut menerima Surat Cara Pelantikan sebagai Timbalan Menteri.
Semua Menteri dan Timbalan Menteri yang dilantik turut menandatangani dokumen rasmi pelantikan di hadapan Ketua Hakim Negara dan Ketua Setiausaha Negara.
Hadir sama, YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim, Perdana Menteri dan Dato’ Sri Fadillah Yusof, Timbalan Perdana Menteri.
Turut hadir, YB Senator Dato Awang Bemee Awang Ali Basah, Yang di-Pertua Dewan Negara; YB Tan Sri Johari Abdul, Yang di-Pertua Dewan Rakyat dan Menteri Kabinet serta Ketua-Ketua Perkhidmatan.
