YANG DI-PERTUAN AGONG DAN RAJA PERMAISURI AGONG BERANGKAT KE ISTIADAT PENGURNIAAN DARJAH KEBESARAN, BINTANG DAN PINGAT PERSEKUTUAN SEMPENA SAMBUTAN ULANG TAHUN HARI KEPUTERAAN RASMI TAHUN 2026

YANG DI-PERTUAN AGONG DAN RAJA PERMAISURI AGONG BERANGKAT KE ISTIADAT PENGURNIAAN DARJAH KEBESARAN, BINTANG DAN PINGAT PERSEKUTUAN SEMPENA SAMBUTAN ULANG TAHUN HARI KEPUTERAAN RASMI TAHUN 2026

KDYMM SPB Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim dan KDYMM SPB Raja Permaisuri Agong Raja Zarith Sofiah berkenan berangkat ke Istiadat Menghadap dan Istiadat Pengurniaan Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat Persekutuan sempena Sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan Rasmi Seri Paduka Baginda bagi Tahun 2026 di Istana Negara, hari ini (1 Jun).
Keberangkatan tiba Seri Paduka Baginda berdua di Peterana Diraja disambut YAB Dato' Seri Anwar Ibrahim, Perdana Menteri dan Dato' Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail.
Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong berkenan menerima hormat Diraja oleh Kawalan Kehormatan Utama dari Batalion Pertama Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD).
Serentak dengan itu lagu Negaraku dimainkan Pancaragam Pusat RAMD dan Panji Peribadi Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong dikibarkan diikuti 21 das tembakan meriam dari 41 Bateri Rejimen Artileri Diraja.
Seri Paduka Baginda kemudiannya berkenan memeriksa Kawalan Kehormatan Utama dan menerima Hormat Diraja sebelum lagu Negaraku berkumandang.
Setelah itu, Seri Paduka Baginda berangkat meninggalkan Pentarana Diraja bagi meneruskan atur cara Istiadat Pengurniaan Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat Persekutuan di Balairung Seri.

Hubungi Kami

Istana Negara
50480 Jalan Tuanku Abdul Halim
Kuala Lumpur

Telefon : 03-6200 1000

Faks : 03-6205 2121