YANG DI-PERTUAN AGONG DAN RAJA PERMAISURI AGONG BERANGKAT KE ISTIADAT SAMBUTAN NEGARA SEMPENA LAWATAN NEGARA PRESIDEN SINGAPURA
KDYMM SPB Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim dan KDYMM SPB Raja Permaisuri Agong Raja Zarith Sofiah berkenan berangkat ke Istiadat Sambutan Negara Sempena Lawatan Tuan Yang Terutama (TYT) Tharman Shanmugaratnam, Presiden Republik Singapura dan Puan Jane Ittogi Shanmugaratnam di Istana Negara, hari ini (13 Julai).
Berangkat sama ke majlis itu, YAM Tunku Tun Aminah Binti Sultan Ibrahim; YB Dato’ Dennis Muhammad Bin Abdullah; YAM Tunku Abdul Rahman Al-Haj Ibni Sultan Ibrahim, Tunku Panglima Johor dan YAM Tunku Abu Bakar Al-Haj Ibni Sultan Ibrahim, Tunku Putera Johor.
Hadir sama, YAB Dato' Seri Anwar Ibrahim, Perdana Menteri dan Dato’ Sri Dr. Wan Azizah Wan Ismail; Dato’ Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi, Timbalan Perdana Menteri; Datuk Amar Fadillah Yusof, Timbalan Perdana Menteri dan YB Steven Sim selaku Menteri Pengiring Lawatan Negara Singapura dan Menteri-Menteri Kabinet.
Lawatan Negara TYT Tharman Shanmugaratnam dan Puan Jane Ittogi Shanmugaratnam ke Malaysia adalah sebagai membalas lawatan negara Sultan Ibrahim ke Singapura pada 6 dan 7 Mei 2024.
Lawatan Negara Presiden Singapura ini merupakan yang keempat selepas Sultan Brunei, Presiden Republik Rakyat China dan Presiden Republik Indonesia sejak Sultan Ibrahim menaiki takhta sebagai Yang di-Pertuan Agong
ke-17.
Istiadat sambutan negara yang diadakan di Dataran Kawad Istana Negara dimulakan dengan lagu kebangsaan negara Singapura dan Malaysia oleh Pancaragam Pusat Rejimen Askar Melayu Diraja disusuli tembakan meriam 21 das dari 41 Bateri Rejimen Artileri Diraja.
Presiden Republik Singapura kemudian memeriksa Kawalan Kehormatan Utama membabitkan empat pegawai dan 103 anggota lain-lain pangkat daripada Batalion Pertama Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD) Kem Perdana Sungai Besi, diketuai Mejar Mohd Masrur Hidayat Masri.
Seri Paduka Baginda berdua turut berkenan mengadakan pertemuan bersama Presiden Singapura dan Puan Jane Ittogi serta deligasi Singapura dengan menyaksikan majlis persembahan cendera kenangan di Dewan Seri
Maharaja, Istana Negara.
Yang di-Pertuan Agong dan Raja Permaisuri Agong turut berkenan meraikan dan memberi penghormatan kepada TYT Presiden serta delegasi dalam satu majlis Jamuan Negara di Dewan Santapan Utama.
