YANG DI-PERTUAN AGONG DAN RAJA PERMAISURI AGONG MENUNAIKAN SOLAT SUNAT AIDILFITRI DI SURAU UTAMA ISTANA NEGARA
KDYMM SPB Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim dan KDYMM SPB Raja Permaisuri Agong Raja Zarith Sofiah berangkat menunaikan Solat Sunat Aidilfitri di Surau Utama Istana Negara, hari ini (21 Mac).
Keberangkatan Seri Paduka Baginda berdua diiringi YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim, Perdana Menteri dan Dato’ Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.
Turut hadir, Dato’ Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi, Timbalan Perdana Menteri, Menteri-menteri Kabinet, Ketua Perwakilan Asing dan Ketua-ketua Jabatan.
Khutbah yang bertajuk ‘Syawal: Bangkit Dari Ujian, Bersatu Dalam Keimanan’ dan Imam Solat Sunat Aidilfitri dipimpin oleh Datuk Haji Munir Md Salleh, Pegawai Agama Istana Negara.
Seri Paduka Baginda berdua turut berkenan bersalaman dengan jemaah yang hadir selesai menunaikan solat.
Solat sunat Aidilfitri turut disertai kira-kira 600 jemaah.
Selesai menunaikan solat, Seri Paduka Baginda berdua berangkat ke Majlis Ramah Mesra Hari Raya Aidilfitri bersama Perdana Menteri, Anggota Jemaah Menteri, Timbalan-Timbalan Menteri dan dif kenamaan yang berlangsung Dewan Santapan Utama, Istana Negara.
