YANG DI-PERTUAN AGONG DAN RAJA PERMAISURI AGONG ZAHIR UCAPAN HARI PEKERJA

YANG DI-PERTUAN AGONG DAN RAJA PERMAISURI AGONG ZAHIR UCAPAN HARI PEKERJA 

KDYMM SPB Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim dan KDYMM SPB Raja Permaisuri Agong Raja Zarith Sofiah menzahirkan ucapan selamat Hari Pekerja kepada seluruh warga kerja yang menjadi tulang belakang pembangunan negara.
Seri Paduka Baginda berdua menzahirkan penghargaan atas segala pengorbanan dan dedikasi yang ditunjukkan para pekerja dalam pelbagai sektor, sama ada di peringkat awam mahupun swasta.
Sultan Ibrahim, bertitah peranan pekerja amat penting dalam memacu pertumbuhan ekonomi serta memastikan kestabilan dan kemakmuran negara terus terpelihara, walaupun berdepan cabaran ekonomi yang semakin mencabar ketika ini.
Seri Paduka Baginda, turut menekankan kepentingan kebajikan pekerja agar sentiasa diberi perhatian, termasuk aspek keselamatan, keseimbangan kehidupan dan peluang pembangunan kerjaya, supaya mereka terus berdaya tahan dalam menghadapi ketidaktentuan ekonomi.
Seri Paduka Baginda turut mendoakan agar seluruh pekerja di negara ini sentiasa dilindungi serta dikurniakan kesihatan dan kesejahteraan dalam menjalankan tugas masing-masing.

Hubungi Kami

Istana Negara
50480 Jalan Tuanku Abdul Halim
Kuala Lumpur

Telefon : 03-6200 1000

Faks : 03-6205 2121