YANG DI-PERTUAN AGONG DAN RAJA PERMAISURI AGONG ZAHIR UCAPAN TAHNIAH KEPADA KONTINJEN MALAYSIA PADA SUKAN SEA 2025
KDYMM SPB Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim dan KDYMM SPB Raja Permaisuri Agong Raja Zarith Sofiah menzahirkan ucapan tahniah kepada kontinjen Malaysia di atas kejayaan meraih 231 pingat secara keseluruhan pada temasya Sukan SEA 2025.
Seri Paduka Baginda berdua menzahirkan rasa bangga terhadap semangat juang dan komitmen tinggi dipamerkan oleh para atlet negara sepanjang berlangsungnya Sukan SEA 2025.
Seri Paduka Baginda turut berkenan menzahirkan penghargaan kepada Majlis Sukan Negara (MSN), barisan jurulatih, pegawai-pegawai serta semua pihak yang terlibat secara langsung atau tidak langsung dalam memastikan kejayaan kontinjen negara.
“Pencapaian ini juga menjadi pemangkin kepada kecemerlangan sukan negara serta inspirasi kepada generasi muda untuk terus mengorak langkah mencapai kejayaan di peringkat lebih tinggi,” titah Seri Paduka Baginda kepada Royal Press Office (RPO) pada hari ini (21 Disember).
