YANG DI-PERTUAN AGONG KURNIA DARJAH KEPAHLAWANAN ANGKATAN TENTERA TAHUN 2025 KEPADA 100 PENERIMA

YANG DI-PERTUAN AGONG KURNIA DARJAH KEPAHLAWANAN ANGKATAN TENTERA TAHUN 2025 KEPADA 100 PENERIMA
 
KDYMM SPB Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim dan KDYMM SPB Raja Permaisuri Agong Raja Zarith Sofiah berkenan berangkat menyempurnakan Istiadat Pengurniaan Darjah
Kepahlawanan Angkatan Tentera Malaysia (DKAT) Tahun 2025 di Istana Negara, hari ini (15 Oktober).
 
Hadir sama, YB Dato' Seri Mohamed Khaled Nordin, Menteri Pertahanan dan Jeneral Tan Sri Mohd Nizam Jaffar, Panglima Angkatan Tentera.
 
Turut hadir, Datuk Lokman Hakim Ali, Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan, Jeneral Tan Sri Muhammad Hafiezzuddin Jantan, Panglima Tentera Darat, Jeneral Tan Sri Zulhelmy Ithnain, Panglima Tentera Laut dan Jeneral Dato’ Sri Muhamad Norazlan Aris, Panglima Tentera Udara.
 
Pada istiadat berkenaan, Seri Paduka Baginda selaku pemerintah tertinggi Angkatan Tentera berkenan mengurniakan darjah Panglima Gagah Angkatan Tentera (PGAT) kepada Jeneral Tan Sri Mohd Nizam Jaffar, Panglima Angkatan Tentera dan Jeneral Dato’ Sri Muhamad Norazlan Aris, Panglima Tentera Udara.
 
Seri Paduka Baginda juga berkenan mengurniakan darjah PGAT Kehormat kepada Jenderal TNA Agus Subiyanto, Panglima Tentera Nasional Indonesia (TNI); General Mao Sophan, Panglima Tentera Darat Kemboja; Mohamad Tonny Harjono, Ketua Angkatan Udara (TNI) dan Mejar Jeneral Kelvin Fan Sui Siong, Panglima Tentera Udara Singapura.
 
Pada istiadat berkenaan juga, Seri Paduka Baginda berkenan mengurniakan darjah Panglima Setia Angkatan Tentera (PSAT) kepada 20 penerima, Pahlawan Angkatan Tentera (PAT) kepada 18 penerima, Kesatria Angkatan Tentera (KAT) kepada 28 penerima dan Bentara Angkatan Tentera (BAT) melibatkan 28 penerima.
 
Penganugerahan Pingat DKAT diberikan kepada pegawai dan anggota lain-lain pangkat yang berkelayakan atas jasa dan pengorbanan mereka dalam perkhidmatan ATM.

Hubungi Kami

Istana Negara
50480 Jalan Tuanku Abdul Halim
Kuala Lumpur

Telefon : 03-6200 1000

Faks : 03-6205 2121