YANG DI-PERTUAN AGONG KURNIA SURAT CARA PELANTIKAN HAKIM BESAR MALAYA DAN HAKIM MAHKAMAH PERSEKUTUAN
KDYMM SPB Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim berkenan berangkat menyempurnakan Istiadat Pengurniaan Surat Cara Pelantikan kepada Hakim Besar Malaya dan Hakim Mahkamah Persekutuan, hari ini (3 Disember).
Istiadat Pengurniaan Surat Cara Pelantikan Hakim Besar Malaya dan Hakim Mahkamah Persekutuan berlangsung di Dewan Singgahsana Kecil, Istana Negara.
Istiadat dimulakan dengan pengurniaan surat cara pelantikan kepada Hakim Besar Malaya, Yang Amat Arif (YAA) Dato’ Hashim Hamzah.
Seri Paduka Baginda turut berkenan mengurniakan surat cara pelantikan kepada Hakim Mahkamah Persekutuan, Yang Arif (YA) Dato’ Che Mohd Ruzima Ghazali; YA Dato’ Mohd Nazlan Mohd Ghazali; YA Dato’ Collin Lawrence Sequerah dan YA Datuk Azimah Omar.
Hadir sama, YAA Datuk Seri Utama Wan Ahmad Farid Wan Salleh, Ketua Hakim Negara; YB Dato’ Seri Azalina Othman Said, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) dan Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar, Ketua Setiausaha Negara.
Turut hadir, YAA Dato’ Abu Bakar Jais, Presiden Mahkamah Rayuan; YAA Datuk Azizah Nawawi, Hakim Besar Sabah Dan Sarawak dan Tan Sri Mohd Dusuki Mokhtar, Peguam Negara.
