YANG DI-PERTUAN AGONG MELAWAT PUSAT INDUSTRI PERTAHANAN PERTAHANAN ARAB SAUDI DAN IBU PEJABAT ARABIAN OUD

YANG DI-PERTUAN AGONG MELAWAT PUSAT INDUSTRI PERTAHANAN PERTAHANAN ARAB SAUDI DAN IBU PEJABAT ARABIAN OUD
 
Sebagai pengisian sempena lawatan negara ke Arab Saudi, KDYMM SPB Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim berangkat membuat lawatan ke “Saudi Arabian Military Industries” (SAMI) dan juga ibu pejabat syarikat haruman terkemuka, “Arabian Oud”, hari ini (5 November).
 
Keberangkatan Seri Paduka Baginda di SAMI telah disambut oleh Ketua Pegawai Eksekutifnya, Thamer Al-Muhid, yang turut mempersembahkan taklimat sepanjang lawatan.
SAMI yang ditubuhkan pada tahun 2017 merupakan sebuah syarikat milik Dana Pelaburan Awam Arab Saudi, bagi membangunkan dan menyokong industri pertahanan di negara itu ke arah memperkukuhkan keupayaan kendiri dalam bidang berkenaan.
 
Ia memainkan peranan besar dalam menyumbang kepada usaha penyetempatan 50 peratus perbelanjaan pertahanan kerajaan Arab Saudi, salah satu sasaran utama Saudi Vision 2030.
Selesai lawatan di SAMI, Yang di-Pertuan Agong berangkat ke ibu pejabat Arabian Oud, bagi menyaksikan secara dekat proses dan seni dalam penghasilan wangian oud yang berkualiti tinggi.
 
Keberangkatan Tuanku disambut meriah oleh Ketua Pegawai Eksekutif Arabian Oud, Omar Abdulaziz Al-Jasser diiringi nyanyian tradisi Arab Saudi.
Sebagai penghormatan bagi lawatan Yang di-Pertuan Agong ke ibu pejabat syarikat itu, Seri Paduka Baginda telah dipersembahkan dengan satu siri wangian istimewa yang dicipta khas untuk Sultan Ibrahim.
Berangkat sama mengiringi Seri Paduka Baginda, YAM Tunku Idris Iskandar Al-Haj Ibni Sultan Ibrahim, Tunku Temenggong Johor dan YAM Tunku Abdul Rahman Al-Haj Ibni Sultan Ibrahim, Tunku Panglima Johor.
 
Turut hadir, Dato’ Seri Mohamed Khaled Nordin, Menteri Pertahanan merangkap Menteri Pengiring, Dato’ Sri Amran Mohamed Zin, Ketua Setiausaha Kementerian Luar Negeri; dan Dato’ Syed Mohamed Bakri Syed Abdul Rahman, Duta Besar Malaysia ke Arab Saudi.

Hubungi Kami

Istana Negara
50480 Jalan Tuanku Abdul Halim
Kuala Lumpur

Telefon : 03-6200 1000

Faks : 03-6205 2121