YANG DI-PERTUAN AGONG SANTAP BERSAMA KELUARGA SEMPENA SAMBUTAN ULANG TAHUN KEPUTERAAN SERI PADUKA BAGINDA
KDYMM SPB Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim dan KDYMM SPB Raja Permaisuri Agong Raja Zarith Sofiah menikmati santapan tengah hari bersama keluarga bersempena sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan Baginda hari ini (22 November).
Majlis santapan tengah hari yang berlangsung di Istana Pasir Pelangi, Johor Bahru turut diserikan dengan keberangkatan cucunda-cucunda Seri Paduka Baginda.
Berangkat sama, DYAM Tunku Mahkota Ismail, Pemangku Sultan Johor dan YAM Che’ Puan Mahkota Khaleeda Johor.
Turut berangkat, YAM Tunku Idris Iskandar Al-Haj Ibni Sultan Ibrahim, Tunku Temenggong Johor; YAM Tunku Abdul Rahman Al-Haj Ibni Sultan Ibrahim, Tunku Panglima Johor dan YAM Tunku Abu Bakar Al-Haj Ibni Sultan Ibrahim, Tunku Putera Johor.
YAM Tunku Tun Aminah Binti Sultan Ibrahim dan suami, Dato’ Dennis Muhammad Abdullah turut berangkat bersama.
