YANG DI-PERTUAN AGONG SELAMAT BERANGKAT PULANG KE MALAYSIA
KDYMM SPB Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim selamat berangkat pulang ke tanah air hari ini (24 Disember) selepas selesai lawatan khas dua hari ke Emiriah Arab Bersatu (UAE).
Keberangkatan tiba Seri Paduka Baginda di Lapangan Terbang Antarabangsa Senai pada jam 9.20 pagi telah disambut oleh Dato’ Asman Shah Abd Rahman, Setiausaha Kerajaan Johor; Tan Sri Dato’ Dr. Azmi Rohani, Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara, dan Kolonel (B) Dato’ Mohamed Perang Musa, Pengelola Bijaya Diraja Johor.
Lawatan khas Sultan Ibrahim ke UAE adalah atas jemputan daripada Yang Amat Mulia Sheikh Mohamed bin Zayed Al Nahyan, Presiden UAE.
Perbincangan Seri Paduka Baginda bersama YAM Sheikh Mohamed telah meneroka pelbagai peluang kerjasama antara Malaysia dan UAE dalam bidang pertahanan, pelaburan serta keterjaminan makanan.
