YANG DI-PERTUAN AGONG SELAMAT TIBA DI ARAB SAUDI BAGI LAWATAN NEGARA

YANG DI-PERTUAN AGONG SELAMAT TIBA DI ARAB SAUDI BAGI LAWATAN NEGARA
 
KDYMM SPB Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim selamat tiba di Terminal Diraja, Lapangan Terbang Antarabangsa Raja Khalid, Riyadh hari ini (3 November) pada jam 12.30 tengah hari waktu tempatan Saudi.
 
Keberangkatan tiba Seri Paduka Baginda disambut Putera Mohammed bin Abdulrahman bin Abdulaziz Al-Saud, Timbalan Gabenor Riyadh dan Putera Faisal bin Abdulaziz bin Ayyaf, Datuk Bandar Riyadh.
 
Turut berangkat sama mengiringi Yang di-Pertuan Agong pada lawatan negara kali ini ialah YAM Tunku Idris Iskandar Al-Haj Ibni Sultan Ibrahim, Tunku Temenggong Johor dan YAM Tunku Abdul Rahman Al-Haj Ibni Sultan Ibrahim, Tunku Panglima Johor.
Hadir sama, YB Dato’ Seri Mohamed Khaled Nordin, Menteri Pertahanan yang juga berperanan selaku Menteri Pengiring bagi lawatan ini, Datuk Seri Amran Mohamed Zin, Ketua Setiausaha Kementerian Luar Negeri; Datuk Syed Bakri Syed Abdul Rahman, Duta Besar Malaysia ke Arab Saudi; Encik Ikram Mohd Ibrahim, Ketua Protokol KLN; Datuk Rozainor Ramli, Ketua Pegawai Istiadat dan Datuk Azuan Effendy Zairakithnaini, Datuk Paduka Maharaja Lela Istana Negara.
 
Kali terakhir lawatan negara oleh Yang di-Pertuan Agong ke Arab Saudi berlangsung pada tahun 1984 oleh Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah Ibni Almarhum Sultan Abu Bakar Ri’ayatuddin Al-Mu’adzam Shah.
Hubungan diplomatik Malaysia dan Arab Saudi terjalin kukuh sejak 68 tahun lalu, dengan kerjasama dalam pelbagai bidang termasuk ekonomi, geopolitik dan hal ehwal agama Islam.

Hubungi Kami

Istana Negara
50480 Jalan Tuanku Abdul Halim
Kuala Lumpur

Telefon : 03-6200 1000

Faks : 03-6205 2121