YANG DI-PERTUAN AGONG SELAMAT TIBA DI MOSCOW SEBAGAI TETAMU KEHORMAT KERAJAAN PERSEKUTUAN RUSIA MENJELANG PERARAKAN HARI KEMENANGAN
KDYMM SPB Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim berangkat tiba Moscow di atas jemputan khas Kerajaan Persekutuan Rusia sebagai tetamu kehormat menjelang sambutan Ulang Tahun Hari Kemenangan, pada 9 Mei ini.
Terdahulu, pesawat peribadi Seri Paduka Baginda selamat mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Vnukovo-2, Moscow hari ini (6 Mei) pada jam 4.20 petang (waktu tempatan Rusia).
Keberangkatan tiba Seri Paduka Baginda disambut Andrey Rudenko, Timbalan Menteri Hal Ehwal Luar Persekutuan Rusia dan Bogdashev Igor Viktorovich, Ketua Pengarah Jabatan Protokol Persekutuan Rusia.
Hadir sama, TYT Dato’ Cheong Loon Lai, Duta Besar Malaysia ke Persekutuan Rusia.
Jemputan khas daripada TYT Presiden Vladimir V Putin kepada Seri Paduka Baginda untuk berangkat ke sambutan itu mencerminkan pengiktirafan tertinggi Kerajaan Rusia terhadap Malaysia.
Pada tahun lalu, Sultan Ibrahim melakar sejarah sebagai Ketua Negara Malaysia yang pertama mengadakan Lawatan Negara ke Persekutuan Rusia sejak tertubuhnya hubungan diplomatik pada tahun 1967.
