YANG DI-PERTUAN AGONG SEMPURNAKAN MAJLIS PELANCARAN PUSAT KANSER TUNKU LAKSAMANA JOHOR
KDYMM SPB Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim dan KDYMM SPB Raja Permaisuri Agong Raja Zarith Sofiah berkenan berangkat ke Majlis Pelancaran Pusat Kanser Tunku Laksamana Johor, di Larkin hari ini (5 Disember).
Berangkat sama, DYAM Tunku Mahkota Ismail, Pemangku Sultan Johor dan YAM Che’ Puan Mahkota Khaleeda Johor.
Turut berangkat sama, YAM Tunku Idris Iskandar Al-Haj Ibni Sultan Ibrahim, Tunku Temenggong Johor; YAM Tunku Abdul Rahman Al-Haj Ibni Sultan Ibrahim, Tunku Panglima Johor dan YAM Tunku Abu Bakar Al-Haj Ibni Sultan Ibrahim, Tunku Putera Johor.
Syarikat penyediaan perkhidmatan penjagaan kesihatan, Precious Hospitals Sdn Bhd yang berpangkalan di Singapura, akan mengendalikan pusat kanser berkenaan yang bernilai RM500 juta.
Pusat kanser itu menyediakan kemudahan diagnostik dan rawatan berteknologi tinggi bagi memperkukuhkan perkhidmatan onkologi serta kerjasama antara sistem kesihatan awam dan swasta di Malaysia.
Apabila siap sepenuhnya, ia akan mempunyai 200 katil dan dilengkapi kemudahan pusat PET-CT serta perubatan nuklear termasuk siklotron pertama di luar Lembah Klang, bagi membolehkan pengeluaran radioisotop perubatan untuk tujuan pengimejan dan terapi kanser di lokasi.
Ini juga akan meningkatkan pengesanan awal, memperluaskan akses rawatan serta mengurangkan kebergantungan kepada rantaian bekalan radioisotop dari lokasi yang jauh.
Yang di-Pertuan Agong memperkenankan hospital ini dinamakan bersempena Almarhum Tunku Abdul Jalil Ibni Sultan Ibrahim, Tunku Laksamana Johor, anakanda keempat Seri Paduka Baginda berdua yang mangkat pada 5 Disember tahun 2015 akibat kanser hati.
Almarhum Tunku Abdul Jalil mempamerkan keberanian dan ketabahan dalam menghadapi penyakit itu di samping menjadi tunjang inspirasi kepada penubuhan Yayasan Kanser Tunku Laksamana Johor yang menyalurkan pelbagai bantuan kepada pesakit-pesakit kanser.
