YANG DI-PERTUAN AGONG SEMPURNAKAN MAJLIS PENYEMPURNAAN PEMULIHARAAN BANGUNAN SULTAN ABDUL SAMAD

YANG DI-PERTUAN AGONG SEMPURNAKAN MAJLIS PENYEMPURNAAN PEMULIHARAAN BANGUNAN SULTAN ABDUL SAMAD

KDYMM SPB Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim berkenan berangkat menyempurnakan majlis penyempurnaan Kompleks Bangunan Sultan Abdul Samad (BSAS), pada hari ini (31 Januari).
Majlis penuh bersejarah itu turut disaksikan oleh YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim, Perdana Menteri.
BSAS yang ikonik itu dibuka kepada orang ramai selepas menjalani kerja konservasi dan pemuliharaan selama 11 bulan.
Projek pemuliharaan berkenaan dilaksanakan di bawah program Dana Warisan Khazanah yang merupakan sebahagian daripada inisiatif Warisan Kuala Lumpur (Warisan KL).
Inisiatif nasional yang dilancarkan pada April 2025 itu bertujuan menafsir semula dan menghidupkan aset warisan ikonik serta identiti sejarah ibu negara.
Projek berkenaan mencerminkan kerjasama erat antara sektor awam dan swasta di bawah payung Warisan KL, selain bertujuan menghidupkan BSAS sebagai ruang awam yang inklusif dan mudah diakses oleh semua lapisan masyarakat.
Pembukaan semula BSAS ini juga sejajar dengan Tahun Melawat Malaysia 2026 dan dijangka memberikan limpahan ekonomi kepada sektor pelancongan, peruncitan dan logistik, sekali gus menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi tempatan.
Bangunan ini dahulunya dikenali sebagai Bangunan Sekretariat yang menjadi teras pusat
pentadbiran negara, sebelum dinamakan semula sebagai Bangunan Sultan Abdul Samad
bagi memperingati Almarhum Sultan Abdul Samad ibni Almarhum Raja Abdullah, Sultan
Selangor yang memerintah pada ketika pembinaannya sekali gus mengukuhkan
kedudukannya dalam landskap bandar raya dan sejarah negara.
Ia juga menjadi saksi kepada pelbagai detik penting dalam sejarah negara dan Kuala Lumpur, termasuk penurunan bendera Union Jack dan
pengibaran bendera Persekutuan Tanah Melayu buat pertama kalinya pada tahun 1957, di
kawasan yang kini dikenali sebagai Dataran Merdeka.
Bangunan ini juga menyaksikan satu lagi fasa bersejarah susulan pengurniaan taraf
bandar raya kepada Kuala Lumpur pada tahun 1972 dan pengisytiharannya sebagai
Wilayah Persekutuan pada tahun 1974, setelah mendapat perkenan Almarhum Sultan
Salahuddin Abdul Aziz Shah Alhaj untuk menyerahkan Kuala Lumpur daripada kedaulatan
Negeri Selangor kepada Kerajaan Persekutuan demi semangat kenegaraan.

Hubungi Kami

Istana Negara
50480 Jalan Tuanku Abdul Halim
Kuala Lumpur

Telefon : 03-6200 1000

Faks : 03-6205 2121