YANG DI-PERTUAN AGONG TERIMA MENGADAP KETUA SETIAUSAHA NEGARA
KDYMM SPB Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim berkenan menerima mengadap Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar, Ketua Setiausaha Negara.
Pertemuan bersama Seri Paduka Baginda berlangsung di Istana Bukit Tunku, Kuala Lumpur pada hari ini (8 Januari).
Seri Paduka Baginda berkenan dipersembahkan taklimat mengenai isu-isu semasa perkhidmatan awam oleh Tan Sri Shamsul Azri serta memperkasa tatakelola dan pengukuhan urus tadbir.
Sultan Ibrahim turut berkenan menzahirkan nasihat kepada seluruh penjawat awam supaya sentiasa mengekalkan integriti dan amanah dalam melaksanakan tanggungjawab demi kepentingan rakyat dan negara.
Seri Paduka Baginda, bertitah bahawa penjawat awam merupakan tunjang utama kepada pentadbiran negara serta memainkan peranan penting dalam memastikan dasar dan perancangan kerajaan dapat dilaksanakan dengan berkesan.
Yang di-Pertuan Agong, menzahirkan kepentingan budaya kerja berteraskan nilai kejujuran, ketelusan dan kecekapan, selain menolak sebarang bentuk salah guna kuasa, rasuah serta penyelewengan hingga boleh menjejaskan kepercayaan rakyat terhadap institusi awam.
