YANG DI-PERTUAN AGONG ZAHIR NASIHAT KEPADA PANGLIMA ANGKATAN TENTERA BAHARU
KDYMM SPB Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim menzahirkan nasihat kepada Panglima Angkatan Tentera (PAT) yang baharu.
Terdahulu, Seri Paduka Baginda berkenan menerima mengadap Jeneral Datuk Malek Razak Sulaiman, di Istana Negara, Kuala Lumpur pada hari ini (4 Februari).
Seri Paduka Baginda, bertitah kekuatan sesebuah angkatan pertahanan bukan sahaja terletak pada aset dan teknologi, tetapi juga pada nilai integriti.
Sultan Ibrahim, bertitah budaya menolak rasuah dan salah guna kuasa mesti menjadi teras kepimpinan Angkatan Tentera Malaysia (ATM).
Seri Paduka Baginda, bertitah integriti, ketelusan dan akauntabiliti adalah asas penting dalam memastikan ATM kekal dihormati serta diyakini rakyat.
“Seluruh warga ATM perlu mengekalkan disiplin tinggi dan menjadikan prinsip menolak rasuah sebagai budaya kerja yang berterusan demi kedaulatan dan kepentingan negara,” titah Seri Paduka Baginda.
Sultan Ibrahim, turut berkenan mengingatkan supaya kepemimpinan tertinggi ATM sentiasa mengutamakan kebajikan anggota, di samping mempertingkatkan keupayaan pertahanan selaras dengan perkembangan cabaran keselamatan semasa.
Pada pertemuan berkenaan, Seri Paduka Baginda turut berkenan menzahirkan keyakinan bahawa PAT yang baharu mampu menggalas tanggungjawab dengan penuh dedikasi.
