YAYASAN KANSER TUNKU LAKSAMANA JOHOR TERUS TEGUH MENERUSKAN LEGASI ALMARHUM TUNKU ABDUL JALIL

YAYASAN KANSER TUNKU LAKSAMANA JOHOR TERUS TEGUH MENERUSKAN LEGASI ALMARHUM TUNKU ABDUL JALIL

Genap sepuluh tahun sejak ditubuhkan, Yayasan Kanser Tunku Laksamana Johor (TLJCF) terus teguh meneruskan legasi Almarhum Tunku Abdul Jalil Ibni Sultan Ibrahim, Tunku Laksamana Johor.
KDYMM SPB Raja Permaisuri Agong Raja Zarith Sofiah, bertitah Almarhum menjadi inspirasi utama penubuhan yayasan berkenaan selepas melalui perjalanan penuh cabaran sebagai seorang pejuang kanser.
Seri Paduka Baginda, bertitah selepas sedekad berlalu, legasi Almarhum bukan sahaja kekal dalam ingatan, tetapi terserlah dalam setiap bantuan, harapan dan sokongan yang disalurkan yayasan kepada ribuan pesakit kanser di seluruh negeri.
“Yayasan ini tidak mungkin sampai ke tahap ini tanpa sokongan padu daripada para penaja, penyumbang, serta rakan strategik yang setia bersama-sama yayasan sejak awal penubuhannya.
“Setiap sumbangan yang dihulurkan bukan sekadar angka, tetapi merupakan tanda keprihatinan dan kasih sayang terhadap insan-insan yang sedang diuji dengan penyakit kanser,” titah Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong.
Raja Zarith Sofiah bertitah demikian pada Titah Diraja bersempena majlis Penghargaan Sedekad Prihatin yang berlangsung di Dewan Utama Majlis Bandaraya Iskandar Puteri (MBIP) pada hari ini (6 Disember).
Turut berangkat, YAM Che’ Puan Mahkota Khaleeda Johor dan YAM Tunku Tun Aminah Binti Sultan Ibrahim.
Dua video tayangan turut mencuri tumpuan dalam majlis itu.
Satu memaparkan kejayaan YKTLJ dalam membantu dua orang pesakit kanser, Puan D. Rajaletchumy dan Encik Kamarolzaman Ahmad Shahimi, yang masing-masing menghidap penyakit kanser payudara dan tulang serta kolorektal.
Sebuah lagi video berjudul “Fight Like Me” hasil Royal Press Office (RPO) memaparkan individu-individu yang menceritakan kisah dan pengalaman mereka bersama Almarhum Tunku Abdul Jalil.

Hubungi Kami

Istana Negara
50480 Jalan Tuanku Abdul Halim
Kuala Lumpur

Telefon : 03-6200 1000

Faks : 03-6205 2121