Al-Fatihah buat Allahyarham Dato’ Dr Haji Badrul Hisham Bin Kassim, Ketua Pegawai Eksekutif Akademi Perkhidmatan Tadbir Negeri Johor.
YANG DI-PERTUAN AGONG DAN RAJA PERMAISURI AGONG MENUNAIKAN SOLAT SUNAT AIDILFITRI DI SURAU UTAMA ISTANA NEGARA
KDYMM SPB Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim dan KDYMM SPB Raja Permaisuri Agong Raja Zarith Sofiah berangkat menunaikan Solat Sunat Aidilfitri di Surau Utama Istana Negara, hari ini (21 Mac).
Keberangkatan Seri Paduka Baginda berdua diiringi YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim, Perdana Menteri dan Dato’ Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.
Turut hadir, Dato’ Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi, Timbalan Perdana Menteri, Menteri-menteri Kabinet, Ketua Perwakilan Asing dan Ketua-ketua Jabatan.
Khutbah yang bertajuk ‘Syawal: Bangkit Dari Ujian, Bersatu Dalam Keimanan’ dan Imam Solat Sunat Aidilfitri dipimpin oleh Datuk Haji Munir Md Salleh, Pegawai Agama Istana Negara.
Seri Paduka Baginda berdua turut berkenan bersalaman dengan jemaah yang hadir selesai menunaikan solat.
Solat sunat Aidilfitri turut disertai kira-kira 600 jemaah.
Selesai menunaikan solat, Seri Paduka Baginda berdua berangkat ke Majlis Ramah Mesra Hari Raya Aidilfitri bersama Perdana Menteri, Anggota Jemaah Menteri, Timbalan-Timbalan Menteri dan dif kenamaan yang berlangsung Dewan Santapan Utama, Istana Negara.
SELAMAT HARI RAYA AIDILFITRI
MAAF ZAHIR DAN BATIN
SULTAN IBRAHIM ZAHIR PENGHARGAAN KEPADA PASUKAN KESELAMATAN, AGENSI PENGUATKUASAAN KOMITED MENJALANKAN TANGGUNGJAWAB KETIKA LEBARAN
KDYMM SPB Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim menzahirkan penghargaan kepada pasukan keselamatan dan agensi penguatkuasaan yang terus komited menjalankan amanah serta tanggungjawab ketika sambutan Aidilfitri.
Seri Paduka Baginda, menyanjung tinggi pengorbanan anggota keselamatan dan penguatkuasa yang tetap bertugas demi memastikan keamanan, ketenteraman awam dan kesejahteraan rakyat sentiasa terpelihara, walaupun pada saat masyarakat lain meraikan lebaran bersama keluarga.
Sultan Ibrahim, turut mendoakan agar semua anggota yang sentiasa berada dalam lindungan Allah Subhanahu Wa Ta’ala serta dikurniakan kesihatan yang baik serta dipermudahkan segala urusan sepanjang melaksanakan tugas.
Terdahulu, Sultan Ibrahim berkenan menerima mengadap YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim, Perdana Menteri di Istana Bukit Tunku, Kuala Lumpur pada hari ini (19 Mac).
Pada perkembangan lain, Seri Paduka Baginda turut menzahirkan nasihat kepada rakyat supaya sentiasa berhati-hati ketika berada di jalan raya, khususnya semasa pulang ke kampung halaman bagi menyambut sambutan Aidilfitri bersama keluarga tercinta.
Seri Paduka Baginda bertitah agar semua pengguna jalan raya mematuhi peraturan lalu lintas, menjaga keselamatan diri serta tidak tergesa-gesa ketika memandu demi mengelakkan kejadian tidak diingini.
𝐈𝐒𝐓𝐀𝐍𝐀 𝐍𝐄𝐆𝐀𝐑𝐀 𝐓𝐄𝐑𝐈𝐌𝐀 𝐒𝐀𝐔𝐃𝐀𝐑𝐀 𝐁𝐀𝐇𝐀𝐑𝐔
Warga Istana Negara hari ini (18 Mac) menerima seorang saudara baharu apabila Encik Rizan bin Abu dengan penuh keikhlasan telah melafazkan dua kalimah syahadah, seterusnya memeluk agama Islam.
Majlis pengislaman Encik Rizan Abu telah berlangsung di Surau Utama Istana Negara dan disempurnakan oleh Jurusyahadah, Datuk Haji Munir Md Salleh, Pegawai Agama Istana Negara.
Majlis tersebut turut disaksikan oleh Tan Sri Dato’ Dr. Haji Azmi Rohani, Datuk Pengelola Bijaya Diraja serta Tuan Haji Jamali Mohd Adnan, Timbalan Pengarah Operasi Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI).
Turut hadir, Puan Sri Datin Datuk Dr. Hajah Noor Azizah Abdul Latiff; Datuk Azuan Effendy Zairakithnaini, Datuk Paduka Maharaja Lela; dan Datuk Zulharry Abdul Rashid, Penasihat Undang-undang Istana Negara.
Encik Rizan, 26, yang bertugas sebagai pekerja pembersihan di Istana Melawati, Putrajaya merupakan anak jati Orang Asli daripada suku Temuan yang berasal dari Hulu Langat, Selangor.
Beliau sebelum ini sering menyertai program-program keagamaan yang dianjurkan di Istana Melawati, seterusnya membuka pintu hati beliau untuk menerima hidayah dan memeluk agama Islam.
Semoga Encik Rizan bin Abu terus istiqamah dalam meniti kehidupan sebagai seorang Muslim serta dikurniakan kekuatan iman, ketenangan jiwa dan keberkatan dalam setiap langkah kehidupannya.
- YANG DI-PERTUAN AGONG ZIARAH MAKAM DIRAJA BUKIT MAHMOODIAH
- RAJA PERMAISURI AGONG BERANGKAT KE MAJLIS KHATAM AL-QURAN PERDANA DAN BERBUKA PUASA ISTANA NEGARA
- RAJA PERMAISURI AGONG BERANGKAT KE MAJLIS BACAAN YASIN DAN TAHLIL ALLAHYARHAM PROFESOR DIRAJA TERPUJI TAN SRI DR. SYED MUHAMMAD NAQUIB AL-ATTAS
- RAJA PERMAISURI AGONG BERBUKA PUASA BERSAMA ANAK-ANAK YATIM, ASNAF DAN KANAK-KANAK JAGAAN YAYASAN CHOW KIT
