YANG DI-PERTUAN AGONG TERIMA MENGADAP KETUA PESURUHJAYA SPRM

YANG DI-PERTUAN AGONG TERIMA MENGADAP KETUA PESURUHJAYA SPRM

YANG DI-PERTUAN AGONG TERIMA MENGADAP KETUA PESURUHJAYA SPRM

KDYMM SPB Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim berkenan menerima mengadap Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Datuk Seri Abd Halim Aman di Istana Negara, hari ini (14 Julai).
Dalam pertemuan kira-kira setengah jam itu, Seri Paduka Baginda dipersembah maklum tentang perkembangan terkini berkaitan SPRM.
Datuk Seri Abd Halim memulakan tugas sebagai Ketua Pesuruhjaya SPRM pada 13 Mei 2026 menggantikan Tan Sri Azam Baki.

SULTAN IBRAHIM: SINGAPURA LEBIH DARI SEKADAR NEGARA JIRAN

SULTAN IBRAHIM: SINGAPURA LEBIH DARI SEKADAR NEGARA JIRAN

SULTAN IBRAHIM: SINGAPURA LEBIH DARI SEKADAR NEGARA JIRAN

KDYMM SPB Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim bertitah Singapura adalah lebih dari sekadar salah sebuah negara jiran terdekat dengan Malaysia.
Seri Paduka Baginda bertitah negara pulau berkenaan merupakan rakan kongsi yang amat dihargai serta antara pemacu utama perdagangan dan pelaburan dalam negara.
“Perdagangan dua hala yang terus mencatatkan pertumbuhan tatkala keadaan ekonomi global yang tidak menentu mencerminkan keutuhan hubungan dua hala Malaysia dan Singapura.
“Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ) juga mencerminkan kerjasama kita untuk memajukan pertumbuhan ekonomi serantau serta mewujudkan peluang baharu dalam ASEAN,” titah Sultan Ibrahim.
Yang di-Pertuan Agong bertitah demikian dalam pertemuan bersama TYT Tharman Shanmugaratnam, Presiden Republik Singapura dalam Istiadat Sambutan Negara Sempena Lawatan Negara Presiden Singapura ke Malaysia, di Istana Negara, Kuala Lumpur, hari ini (13 Julai).
Seri Paduka Baginda turut menyuarakan keyakinan bahawa pelancaran Sistem Transit Segera Johor Bahru-Singapura (RTS Link) di akhir 2026 akan mengukuhkan lagi jaringan keterhubungan Malaysia dan Singapura.
“Bersama dengan JS-SEZ, saya yakin RTS Link akan memainkan peranan penting dalam menarik pelaburan serta mengukuhkan kedudukan Malaysia dan Singapura sebagai pintu masuk utama ke pasaran ASEAN,” titah Yang di-Pertuan Agong.

YANG DI-PERTUAN AGONG DAN RAJA PERMAISURI AGONG BERANGKAT KE ISTIADAT SAMBUTAN NEGARA SEMPENA LAWATAN NEGARA PRESIDEN SINGAPURA

YANG DI-PERTUAN AGONG DAN RAJA PERMAISURI AGONG BERANGKAT KE ISTIADAT SAMBUTAN NEGARA SEMPENA LAWATAN NEGARA PRESIDEN SINGAPURA

YANG DI-PERTUAN AGONG DAN RAJA PERMAISURI AGONG BERANGKAT KE ISTIADAT SAMBUTAN NEGARA SEMPENA LAWATAN NEGARA PRESIDEN SINGAPURA

KDYMM SPB Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim dan KDYMM SPB Raja Permaisuri Agong Raja Zarith Sofiah berkenan berangkat ke Istiadat Sambutan Negara Sempena Lawatan Tuan Yang Terutama (TYT) Tharman Shanmugaratnam, Presiden Republik Singapura dan Puan Jane Ittogi Shanmugaratnam di Istana Negara, hari ini (13 Julai).
Berangkat sama ke majlis itu, YAM Tunku Tun Aminah Binti Sultan Ibrahim; YB Dato’ Dennis Muhammad Bin Abdullah; YAM Tunku Abdul Rahman Al-Haj Ibni Sultan Ibrahim, Tunku Panglima Johor dan YAM Tunku Abu Bakar Al-Haj Ibni Sultan Ibrahim, Tunku Putera Johor.
Hadir sama, YAB Dato' Seri Anwar Ibrahim, Perdana Menteri dan Dato’ Sri Dr. Wan Azizah Wan Ismail; Dato’ Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi, Timbalan Perdana Menteri; Datuk Amar Fadillah Yusof, Timbalan Perdana Menteri dan YB Steven Sim selaku Menteri Pengiring Lawatan Negara Singapura dan Menteri-Menteri Kabinet.
Lawatan Negara TYT Tharman Shanmugaratnam dan Puan Jane Ittogi Shanmugaratnam ke Malaysia adalah sebagai membalas lawatan negara Sultan Ibrahim ke Singapura pada 6 dan 7 Mei 2024.
Lawatan Negara Presiden Singapura ini merupakan yang keempat selepas Sultan Brunei, Presiden Republik Rakyat China dan Presiden Republik Indonesia sejak Sultan Ibrahim menaiki takhta sebagai Yang di-Pertuan Agong
ke-17.
Istiadat sambutan negara yang diadakan di Dataran Kawad Istana Negara dimulakan dengan lagu kebangsaan negara Singapura dan Malaysia oleh Pancaragam Pusat Rejimen Askar Melayu Diraja disusuli tembakan meriam 21 das dari 41 Bateri Rejimen Artileri Diraja.
Presiden Republik Singapura kemudian memeriksa Kawalan Kehormatan Utama membabitkan empat pegawai dan 103 anggota lain-lain pangkat daripada Batalion Pertama Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD) Kem Perdana Sungai Besi, diketuai Mejar Mohd Masrur Hidayat Masri.
Seri Paduka Baginda berdua turut berkenan mengadakan pertemuan bersama Presiden Singapura dan Puan Jane Ittogi serta deligasi Singapura dengan menyaksikan majlis persembahan cendera kenangan di Dewan Seri
Maharaja, Istana Negara.
Yang di-Pertuan Agong dan Raja Permaisuri Agong turut berkenan meraikan dan memberi penghormatan kepada TYT Presiden serta delegasi dalam satu majlis Jamuan Negara di Dewan Santapan Utama.

YANG DI-PERTUAN AGONG TERIMA MENGADAP PENGERUSI BARISAN NASIONAL

YANG DI-PERTUAN AGONG TERIMA MENGADAP PENGERUSI BARISAN NASIONAL

YANG DI-PERTUAN AGONG TERIMA MENGADAP PENGERUSI BARISAN NASIONAL

KDYMM SPB Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim berkenan menerima mengadap Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi, Pengerusi Barisan Nasional (BN), di Istana Pasir Pelangi, Johor Bahru hari ini (12 Julai).
Turut hadir dalam pertemuan yang berlangsung hampir sejam itu, Dato’ Onn Hafiz Ghazi, Pengerusi BN Johor.
BN telah meraih kemenangan dalam Pilihan Raya Negeri yang diadakan semalam, dengan merangkul 48 daripada 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor yang dipertandingkan.

YANG DI-PERTUAN AGONG DAN RAJA PERMAISURI AGONG BERANGKAT ZIARAH PUSARA ANAKANDA, ALMARHUM TUNKU LAKSAMANA JOHOR

YANG DI-PERTUAN AGONG DAN RAJA PERMAISURI AGONG BERANGKAT ZIARAH PUSARA ANAKANDA, ALMARHUM TUNKU LAKSAMANA JOHOR

YANG DI-PERTUAN AGONG DAN RAJA PERMAISURI AGONG BERANGKAT ZIARAH PUSARA ANAKANDA, ALMARHUM TUNKU LAKSAMANA JOHOR

KDYMM SPB Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim bersama KDYMM SPB Raja Permaisuri Agong Raja Zarith Sofiah berangkat ke Makam Diraja Mahmoodiah, Johor Bahru, hari ini (5 Julai).
Seri Paduka Baginda berdua menziarah pusara anakanda, Almarhum Tunku Abdul Jalil Ibni Sultan Ibrahim, Tunku Laksamana Johor, yang telah mangkat pada tahun 2015.
Keberangkatan Sultan Ibrahim dan Raja Zarith Sofiah pada hari ini adalah bersempena ulang tahun keputeraan Almarhum Tunku Abdul Jalil pada 5 Julai 1990.
Turut berangkat mengiringi Seri Paduka Baginda berdua, YAM Tunku Abdul Rahman Al-Haj Ibni Sultan Ibrahim, Tunku Panglima Johor.

Hubungi Kami

Istana Negara
50480 Jalan Tuanku Abdul Halim
Kuala Lumpur

Telefon : 03-6200 1000

Faks : 03-6205 2121