YANG DI-PERTUAN AGONG MELAWAT DUA PUSAT PEMBUATAN PERTAHANAN BERTEKNOLOGI CANGGIH DI ABU DHABI
KDYMM SPB Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim berkenan berangkat melawat dua pusat
teknologi canggih serta fasiliti pembuatan milik Kumpulan EDGE, iaitu NIMR dan CARACAL di Abu Dhabi, Emiriah Arab Bersatu (UAE) pada hari ini (23 Disember).
Kunjungan berkenaan merupakan sebahagian daripada Lawatan Khas Seri Paduka Baginda ke UAE bermula semalam (22 Disember).
Terdahulu, keberangkatan tiba Seri Paduka Baginda ke NIMR di Pusat Perindustrian Tawazun, Abu Dhabi disambut Hamad Al Marar, Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif EDGE.
Seri Paduka Baginda kemudian berkenan dipersembahkan taklimat oleh Khaled Al Zaabi, Presiden Kluster Platform dan Sistem EDGE.
Seusai selesai lawatan di NIMR, Seri Paduka Baginda kemudian berkenan berangkat ke CARACAL sebelum disambut oleh Hamad Al Ameri, Ketua Pegawai Eksekutif.
NIMR merupakan pengeluar kenderaan tentera berprestasi tinggi berpangkalan di Abu Dhabi dan merupakan entiti di bawah EDGE Group, manakala CARACAL merupakan pengeluar senjata kecil terkemuka.
EDGE merupakan konglomerat pertahanan UAE yang terkemuka.
Semasa lawatan di CARACAL, Seri Paduka Baginda turut berkenan mempamerkan kemahiran menembak menggunakan senapang penembak tepat (sniper) CSR 308 di lapangan sasar menembak 100 meter.
