RAJA PERMAISURI AGONG MENZAHIRKAN UCAPAN TAKZIAH DI ATAS PEMERGIAN PROF DR MASPUTERIAH DARI UNIVERSITI TEKNOLOGI MALAYSIA
KDYMM SPB Raja Permaisuri Agong, Raja Zarith Sofiah, menzahirkan ucapan takziah di atas pemergian Allahyarhamah Prof Dr Masputeriah Hamzah, mantan Pengarah Hal Ehwal Korporat Universiti Teknologi Malaysia (UTM).
Seri Paduka Baginda yang juga Canselor UTM turut berkenan menzahirkan ucapan takziah kepada seluruh ahli keluarga Allahyarhamah dan berharap agar mereka dikurniakan ketabahan serta kekuatan dalam menghadapi saat yang penuh dugaan ini.
Seri Paduka Baginda menitipkan doa semoga roh Allahyarhamah dicucuri rahmat dan ditempatkan dalam kalangan hamba-Nya yang beriman dan beramal soleh serta diberikan ganjaran yang sebaik-baiknya di sisi Allah Allah Subhanahu Wa Ta'ala.
“Saya mula mengenali Allahyarhamah dan menjadi sahabat ketika saya bersama Prof Dr Rose Alinda dan Prof Datin Dr Ruzy Hashim dari UKM berada di Oxford bagi menghadiri Oxford Alumni Weekend pada September 2009. Pada waktu itu, saya telah mengatur satu “reunion” di Oxford,” titah Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong kepada Royal Press Office (RPO) pada hari ini (19 November).
Berkhidmat sebagai Pengarah Hal Ehwal Korporat UTM, Allahyarhamah telah mewujudkan program Tuanku Chancellor English Language Club, sebuah inisiatif yang amat dekat di hati Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong.
Melalui kelab ini, Allahyarhamah Prof Dr Masputeriah membimbing ramai pelajar untuk bertutur dalam bahasa Inggeris seterusnya membina keyakinan diri dan memperkaya pengalaman pembelajaran mereka.
Sumbangan Allahyarhamah turut merentasi sempadan universiti dengan berperanan besar dalam pembangunan cadangan Program Perintis Bangsa Johor Bahagia di Flat Kangkar Pulai yang dirangka bersama Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong dan Prof Dr Rose Alinda Alias dari UTM untuk meningkatkan kesejahteraan komuniti setempat.
