KERAJAAN NEGERI JOHOR MEMPERLUASKAN PROGRAM BANGSA JOHOR BAHAGIA DALAM USAHA MENINGKATKAN KUALITI HIDUP MASYARAKAT

KERAJAAN NEGERI JOHOR MEMPERLUASKAN PROGRAM BANGSA JOHOR BAHAGIA DALAM USAHA MENINGKATKAN KUALITI HIDUP MASYARAKAT
KERAJAAN NEGERI JOHOR MEMPERLUASKAN PROGRAM BANGSA JOHOR BAHAGIA DALAM USAHA MENINGKATKAN KUALITI HIDUP MASYARAKAT
 
Kerajaan Negeri Johor akan memperluaskan Program Bangsa Johor Bahagia (BJB) dalam usaha meningkatkan kualiti hidup masyarakat dalam kawasan penempatan kos rendah di Johor.
 
Perkara itu dipersembahkan YAB Dato’ Onn Hafiz Ghazi, Menteri Besar Johor pada sesi mengadap bersama KDYMM SPB Raja Permaisuri Agong, Raja Zarith Sofiah di Istana Bukit Serene, Johor Bahru pada hari ini (10 November).
 
Hadir sama, Dato’ Asman Shah Abd Rahman, Setiausaha Kerajaan Johor dan Datin Halimah Mohamed Rasip, isteri Setiausaha Kerajaan Negeri Johor, YB Dato’ Mohd Jafni Md Shukor, Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan; Dato’ Mohd Haffiz Ahmad, Datuk Bandar Majlis Bandaraya Johor Bahru; Prof SR Dr Maimunah Sapri, Ketua Projek BJB dan Prof Madya Dr Mohd Hisyam Rashidi, Pengarah Jabatan Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) UTM.
Program BJB merupakan ilham KDYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim dan Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong.
 
Ia juga merupakan sebuah projek di bawah naungan Yayasan Sultan Ibrahim Johor dan Yayasan Raja Zarith Sofiah Negeri Johor dengan kerjasama Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dan Kerajaan Negeri Johor.
Program berkenaan menempa beberapa kejayaan melalui projek komuniti perintis yang dilaksanakan di Rumah Pangsa Bandar Baru Kangkar Pulai (BJB1.0) sejak tahun 2019 seterusnya diperluaskan ke Flat Plentong Utama (BJB2.0) pada tahun ini.
 
Kini Kerajaan Negeri Johor berhasrat untuk memperluaskan program BJB 3.0 ke Flat Larkin (Johor Bahru) dan Flat Temenggong (Kulai) dalam usaha meningkatkan kualiti hidup masyarakat di kawasan penempatan berkenaan.
Program BJB 3.0 pada kali ini akan dilaksanakan dengan kerjasama Majlis Bandaraya Johor Bahru, Majlis Perbandaran Kulai dan Perbadanan Kemajuan Perumahan Negeri Johor (PKPKJ).
 
Perancangan program BJB 3.0 akan menerapkan tema warisan dan semangat baru dengan fokus menangani cabaran perumahan berstrata, peningkatan taraf sosioekonomi, peluang pembangunan remaja, platform perkembangan generasi dan keupayaan komuniti menerima perubahan.

YANG DI-PERTUAN AGONG SELAMAT TIBA DARI LAWATAN NEGARA KE ARAB SAUDI DAN BAHRAIN

YANG DI-PERTUAN AGONG SELAMAT TIBA DARI LAWATAN NEGARA KE ARAB SAUDI DAN BAHRAIN
YANG DI-PERTUAN AGONG SELAMAT TIBA DARI LAWATAN NEGARA KE ARAB SAUDI DAN BAHRAIN
 
KDYMM SPB Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim selamat tiba ke tanah air selepas mengadakan lawatan negara selama enam hari ke Arab Saudi dan Bahrain bermula 3 November lalu.
 
Pesawat peribadi Seri Paduka Baginda mendarat di Hangar DiRaja Lapangan Terbang Antarabangsa Senai (LTAS), pada jam 8.30 pagi hari ini (9 November).
 
Keberangkatan tiba Seri Paduka Baginda disambut oleh DYAM Tunku Mahkota Ismail, Pemangku Sultan Johor.
 
Turut hadir, YAB Dato' Onn Hafiz Ghazi, Menteri Besar Johor, Dato’ Asman Shah Abd Rahman, Setiausaha Kerajaan Negeri Johor dan Yang Dipertua Jumaah Majlis DiRaja Johor, Dato' Dr Abdul Rahim Ramli serta barisan Jumaah Majlis DiRaja Johor dan Exco.
 
Sultan Ibrahim turut berkenan melintasi Kawalan Kehormatan Statik (KKS) Askar Timbalan Setia Negeri Johor (ATSN) sebaik berangkat tiba.

YANG DI-PERTUAN AGONG BERANGKAT MELAWAT KEMENTERIAN DALAM NEGERI BAHRAIN

YANG DI-PERTUAN AGONG BERANGKAT MELAWAT KEMENTERIAN DALAM NEGERI BAHRAIN
YANG DI-PERTUAN AGONG BERANGKAT MELAWAT KEMENTERIAN DALAM NEGERI BAHRAIN
 
Bersempena lawatan negara, KDYMM SPB Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim berangkat melawat Kementerian Dalam Negeri Bahrain di Manama, hari ini (8 November).
 
Keberangkatan Seri Paduka Baginda diiringi Raja Hamad bin Isa Al-Khalifa, Raja Bahrain.
 
Ketibaan Baginda berdua di kementerian berkenaan disambut Leftenan Jeneral Shaikh Rashid bin Abdullah Al-Khalifa, Menteri Dalam Negeri.
 
Turut berangkat, YAM Tunku Idris Iskandar Al-Haj Ibni Sultan Ibrahim, Tunku Temenggong Johor; YAM Tunku Abdul Rahman Al-Haj Ibni Sultan Ibrahim, Tunku Panglima Johor dan YAM Tunku Abu Bakar Al-Haj Ibni Sultan Ibrahim, Tunku Putera Johor.
 
Bersempena lawatan berkenaan, Yang di-Pertuan Agong diraikan dengan lagu Negaraku.
Seri Paduka Baginda turut berkenan memeriksa perbarisan kawalan kehormat dengan diiringi Raja Bahrain diikuti persembahan kawad senyap dan pancaragam oleh Bahrain Police Band.

HUBUNGAN DUA HALA MALAYSIA-BAHRAIN BERPOTENSI BESAR

HUBUNGAN DUA HALA MALAYSIA-BAHRAIN BERPOTENSI BESAR

HUBUNGAN DUA HALA MALAYSIA-BAHRAIN BERPOTENSI BESAR

Perhubungan diplomatik dan persahabatan ikhlas antara Malaysia dan Bahrain mempunyai potensi kerjasama yang besar.
 
KDYMM SPB Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim bertitah, negara itu merupakan rakan strategik yang penting untuk Malaysia dan berharap dapat mengukuhkan kerjasama ekonomi seiring dengan Visi Ekonomi Bahrain 2030.
 
“Bahrain dan Malaysia saling menghormati, dan mempunyai semangat persaudaraan, di samping berkongsi nilai-nilai, aspirasi serta komitmen kepada keamanan, kesejahteraan dan kemajuan untuk rakyat.
 
“Saya harap lawatan saya kali ini akan membuka lembaran baharu dalam membentuk hala tuju masa hadapan perhubungan kedua-dua negara,” titah Seri Paduka Baginda.
Yang di-Pertuan Agong bertitah demikian dalam titah ucapan sebelum diraikan dalam satu majlis santapan negara bersempena lawatan negara ke Bahrain semalam (7 November).
 
Raja Hamad turut bertitah menzahirkan komitmen ke arah menjadi rakan strategik jangka panjang yang ikhlas dan membina untuk Malaysia dengan mengeratkan kerjasama dalam pelbagai bidang.
 
“Pertumbuhan Malaysia yang memberangsangkan telah dicapai melalui kecemerlangan dalam bidang perniagaan, perindustrian dan pertanian — bidang-bidang yang turut menjadi kekuatan Bahrain.
 
“Oleh itu, kita mempunyai banyak peluang untuk saling memperoleh manfaat dalam sektor seperti perbankan, teknologi kewangan (fintech), pelancongan, pertanian dan pembangunan infrastruktur.
 
“Tuanku dan negara Tuanku telah menjadi saudara serta sekutu setia kepada Bahrain, dan dengan memperbaharui penghargaan atas kunjungan Tuanku ini, saya dengan tulus berharap agar persahabatan kita akan terus berkembang dan makmur pada tahun-tahun yang akan datang.
 
Keberangkatan tiba Seri Paduka Baginda di Istana Sakhir, Zallaq, telah disambut oleh Raja Hamad bin Isa Al-Khalifa, Raja Bahrain bersama Putera Salman bin Hamad Al-Khalifa, Putera Mahkota merangkap Perdana Menteri Bahrain serta Keluarga Diraja Bahrain.
 
Berangkat sama mengiringi keberangkatan Yang di-Pertuan Agong, YAM Tunku Idris Iskandar Al-Haj Ibni Sultan Ibrahim, Tunku Temenggong Johor; YAM Tunku Abdul Rahman Al-Haj Ibni Sultan Ibrahim, Tunku Panglima Johor, YAM Tunku Abu Bakar Al-Haj Ibni Sultan Ibrahim, Tunku Putera Johor.

SELAMAT ULANG TAHUN HARI KEPUTERAAN SULTAN PERAK

SELAMAT ULANG TAHUN HARI KEPUTERAAN SULTAN PERAK

SELAMAT ULANG TAHUN HARI KEPUTERAAN SULTAN PERAK DARUL RIDZUAN

 

Hubungi Kami

Istana Negara
50480 Jalan Tuanku Abdul Halim
Kuala Lumpur

Telefon : 03-6200 1000

Faks : 03-6205 2121