YANG DI-PERTUAN AGONG MELAWAT PUSAT INDUSTRI PERTAHANAN PERTAHANAN ARAB SAUDI DAN IBU PEJABAT ARABIAN OUD

YANG DI-PERTUAN AGONG MELAWAT PUSAT INDUSTRI PERTAHANAN PERTAHANAN ARAB SAUDI DAN IBU PEJABAT ARABIAN OUD
YANG DI-PERTUAN AGONG MELAWAT PUSAT INDUSTRI PERTAHANAN PERTAHANAN ARAB SAUDI DAN IBU PEJABAT ARABIAN OUD
 
Sebagai pengisian sempena lawatan negara ke Arab Saudi, KDYMM SPB Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim berangkat membuat lawatan ke “Saudi Arabian Military Industries” (SAMI) dan juga ibu pejabat syarikat haruman terkemuka, “Arabian Oud”, hari ini (5 November).
 
Keberangkatan Seri Paduka Baginda di SAMI telah disambut oleh Ketua Pegawai Eksekutifnya, Thamer Al-Muhid, yang turut mempersembahkan taklimat sepanjang lawatan.
SAMI yang ditubuhkan pada tahun 2017 merupakan sebuah syarikat milik Dana Pelaburan Awam Arab Saudi, bagi membangunkan dan menyokong industri pertahanan di negara itu ke arah memperkukuhkan keupayaan kendiri dalam bidang berkenaan.
 
Ia memainkan peranan besar dalam menyumbang kepada usaha penyetempatan 50 peratus perbelanjaan pertahanan kerajaan Arab Saudi, salah satu sasaran utama Saudi Vision 2030.
Selesai lawatan di SAMI, Yang di-Pertuan Agong berangkat ke ibu pejabat Arabian Oud, bagi menyaksikan secara dekat proses dan seni dalam penghasilan wangian oud yang berkualiti tinggi.
 
Keberangkatan Tuanku disambut meriah oleh Ketua Pegawai Eksekutif Arabian Oud, Omar Abdulaziz Al-Jasser diiringi nyanyian tradisi Arab Saudi.
Sebagai penghormatan bagi lawatan Yang di-Pertuan Agong ke ibu pejabat syarikat itu, Seri Paduka Baginda telah dipersembahkan dengan satu siri wangian istimewa yang dicipta khas untuk Sultan Ibrahim.
Berangkat sama mengiringi Seri Paduka Baginda, YAM Tunku Idris Iskandar Al-Haj Ibni Sultan Ibrahim, Tunku Temenggong Johor dan YAM Tunku Abdul Rahman Al-Haj Ibni Sultan Ibrahim, Tunku Panglima Johor.
 
Turut hadir, Dato’ Seri Mohamed Khaled Nordin, Menteri Pertahanan merangkap Menteri Pengiring, Dato’ Sri Amran Mohamed Zin, Ketua Setiausaha Kementerian Luar Negeri; dan Dato’ Syed Mohamed Bakri Syed Abdul Rahman, Duta Besar Malaysia ke Arab Saudi.

YANG DI-PERTUAN AGONG DIBERI SAMBUTAN SEMPENA LAWATAN NEGARA KE ARAB SAUDI

YANG DI-PERTUAN AGONG DIBERI SAMBUTAN SEMPENA LAWATAN NEGARA KE ARAB SAUDI

YANG DI-PERTUAN AGONG DIBERI SAMBUTAN SEMPENA LAWATAN NEGARA KE ARAB SAUDI

KDYMM SPB Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim diberikan sambutan negara di Istana Yamamah, Riyadh bersempena lawatan negara Seri Paduka Baginda ke Arab Saudi, hari ini (4 November)
 
Keberangkatan tiba Seri Paduka Baginda pada jam 1.30 tengah hari waktu tempatan Saudi (6.30 petang waktu Malaysia) disambut penuh mesra Putera Mahkota merangkap Perdana Menteri Arab Saudi, Mohammed bin Salman bin Abdulaziz Al-Saud.
 
Lagu Negaraku dan lagu kebangsaan Arab Saudi dimainkan sebagai tanda penghormatan sebelum Seri Paduka Baginda dengan diiringi Putera Mohammed bin Salman berjalan masuk ke istana melintasi kawalan kehormatan.
 
Seusai Istiadat Sambutan Negara selesai, berlangsung pertemuan rasmi antara Sultan Ibrahim dan Putera Mohammed bin Salman.
Turut berangkat mengiringi Seri Paduka Baginda, YAM Tunku Idris Iskandar Al-Haj Ibni Sultan Ibrahim, Tunku Temenggong Johor dan YAM Tunku Abdul Rahman Al-Haj Ibni Sultan Ibrahim, Tunku Panglima Johor.
 
Turut hadir, YB Dato’ Seri Mohamed Khaled Nordin, Menteri Pertahanan merangkap Menteri Pengiring; Dato’ Sri Amran Mohamed Zin, Ketua Setiausaha Kementerian Luar Negeri; Tan Sri Dato’ Dr. Azmi Rohani, Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara, dan Dato’ Syed Mohamed Bakri Syed Abdul Rahman, Duta Besar Malaysia ke Arab Saudi.
 
Putera Mohammed bin Salman turut menghoskan Seri Paduka Baginda dalam majlis santapan negara bersama tetamu-tetamu kehormat.
Seri Paduka Baginda, bertitah pertemuan bersama Putera Mohammed bin Salman berlangsung dalam suasana penuh mesra dan menyentuh pelbagai perkara.
“Ini merupakan pertemuan julung kali kami berdua dan Putera Mohammed sangat berpengetahuan dalam pelbagai perkara yang dibincangkan.
 
“Saya turut berkongsikan beberapa pandangan terutama berkenaan pentingnya pelaksanaan dasar yang konsisten dalam kerajaan serta perhubungan antarabangsa.
 
“Dasar yang konsisten akan membawa kestabilan perhubungan dua hala serta memberi keyakinan untuk menarik pelaburan kepada sesebuah negara,” titah Seri Paduka Baginda kepada Royal Press Office (RPO).
 
Yang di-Pertuan Agong turut memuji Visi 2030 Arab Saudi, sebuah usaha membangunkan negara Tanah Suci itu ke tahap yang lebih baik dengan kepelbagaian ekonomi, pemerkasaan rakyat, serta penyediaan persekitaran yang rancak buat pelabur.

YANG DI-PERTUAN AGONG SELAMAT TIBA DI ARAB SAUDI BAGI LAWATAN NEGARA

YANG DI-PERTUAN AGONG SELAMAT TIBA DI ARAB SAUDI BAGI LAWATAN NEGARA
YANG DI-PERTUAN AGONG SELAMAT TIBA DI ARAB SAUDI BAGI LAWATAN NEGARA
 
KDYMM SPB Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim selamat tiba di Terminal Diraja, Lapangan Terbang Antarabangsa Raja Khalid, Riyadh hari ini (3 November) pada jam 12.30 tengah hari waktu tempatan Saudi.
 
Keberangkatan tiba Seri Paduka Baginda disambut Putera Mohammed bin Abdulrahman bin Abdulaziz Al-Saud, Timbalan Gabenor Riyadh dan Putera Faisal bin Abdulaziz bin Ayyaf, Datuk Bandar Riyadh.
 
Turut berangkat sama mengiringi Yang di-Pertuan Agong pada lawatan negara kali ini ialah YAM Tunku Idris Iskandar Al-Haj Ibni Sultan Ibrahim, Tunku Temenggong Johor dan YAM Tunku Abdul Rahman Al-Haj Ibni Sultan Ibrahim, Tunku Panglima Johor.
Hadir sama, YB Dato’ Seri Mohamed Khaled Nordin, Menteri Pertahanan yang juga berperanan selaku Menteri Pengiring bagi lawatan ini, Datuk Seri Amran Mohamed Zin, Ketua Setiausaha Kementerian Luar Negeri; Datuk Syed Bakri Syed Abdul Rahman, Duta Besar Malaysia ke Arab Saudi; Encik Ikram Mohd Ibrahim, Ketua Protokol KLN; Datuk Rozainor Ramli, Ketua Pegawai Istiadat dan Datuk Azuan Effendy Zairakithnaini, Datuk Paduka Maharaja Lela Istana Negara.
 
Kali terakhir lawatan negara oleh Yang di-Pertuan Agong ke Arab Saudi berlangsung pada tahun 1984 oleh Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah Ibni Almarhum Sultan Abu Bakar Ri’ayatuddin Al-Mu’adzam Shah.
Hubungan diplomatik Malaysia dan Arab Saudi terjalin kukuh sejak 68 tahun lalu, dengan kerjasama dalam pelbagai bidang termasuk ekonomi, geopolitik dan hal ehwal agama Islam.

YANG DI-PERTUAN AGONG BERANGKAT KE ARAB SAUDI DAN BAHRAIN BAGI LAWATAN NEGARA

YANG DI-PERTUAN AGONG BERANGKAT KE ARAB SAUDI DAN BAHRAIN BAGI LAWATAN NEGARA
YANG DI-PERTUAN AGONG BERANGKAT KE ARAB SAUDI DAN BAHRAIN BAGI LAWATAN NEGARA
 
KDYMM SPB Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim berkenan berangkat ke Arab Saudi dan Bahrain hari ini (3 November) bagi lawatan negara.
 
Istiadat Mengucap Selamat Berangkat bersempena lawatan negara Seri Paduka Baginda berlangsung di Pangkalan Udara Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) Subang.
Bersempena istiadat berkenaan, Seri Paduka Baginda turut berkenan menerima tabik Hormat Diraja daripada Batalion Pertama Rejimen Askar Melayu Diraja dengan diiringi tembakan meriam sebanyak 21 das dan lagu Negaraku.
 
YAB Dato’ Sri Fadillah Yusof, Timbalan Perdana Menteri turut hadir bagi mengucapkan selamat berangkat kepada Seri Paduka Baginda.
 
Hadir sama, YB Tan Sri Johari Abdul, Yang di-Pertua Dewan Rakyat; YB Dato’ Seri Mohamad Hasan, Menteri Luar Negeri dan Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, Menteri Dalam Negeri.
Turut hadir, Datuk Ahmad Fahmi Mohamed Fadzil, Menteri Komunikasi; Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad, Menteri Kesihatan dan Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar, Ketua Setiausaha Negara serta Ketua-ketua Perkhidmatan.
 
Lawatan negara ke Arab Saudi mencatat sejarah sebagai lawatan negara pertama Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim sejak kali terakhir dilaksanakan oleh Yang di-Pertuan Agong ke-7 Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah pada 1984.

KDYMM SERI PADUKA BAGINDA YANG DI-PERTUAN AGONG AKAN BERANGKAT KE ARAB SAUDI DAN BAHRAIN

KDYMM SERI PADUKA BAGINDA  YANG DI-PERTUAN AGONG AKAN BERANGKAT KE ARAB SAUDI DAN BAHRAIN

KDYMM SERI PADUKA BAGINDA  YANG DI-PERTUAN AGONG AKAN BERANGKAT KE ARAB SAUDI DAN BAHRAIN

Hubungi Kami

Istana Negara
50480 Jalan Tuanku Abdul Halim
Kuala Lumpur

Telefon : 03-6200 1000

Faks : 03-6205 2121