RAJA PERMAISURI AGONG TERIMA MENGADAP NAIB CANSELOR UTM DAN KETUA PEGAWAI EKSEKUTIF YRZSNJ
KDYMM SPB Raja Permaisuri Agong Raja Zarith Sofiah berkenan menerima mengadap Prof Ts Dr Mohd Shafry Mohd Rahim, Naib Canselor Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dan Hishamuddin Abd Rahim, Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Raja Zarith Sofiah Negeri Johor (YRZSNJ).
Turut hadir, Prof Madya Dr Farhana Diana Deris, Pengarah Pusat Komunikasi Korporat, Pejabat Strategi dan Kesohoran UTM.
Pertemuan selama dua jam bersama Seri Paduka Baginda memfokuskan kepada perancangan dan pengisian program-program ilmiah yang bakal dianjurkan menerusi kerjasama UTM dan YRZSNJ tahun ini.
Mengulas lanjut, Dr Mohd Shafry memaklumkan agenda utama perbincangan tertumpu kepada penganjuran Forum Intelektual DiRaja, yang bakal menampilkan kelainan signifikan pada tahun ini.
"Atas titah perkenan Seri Paduka Baginda, Forum Intelektual DiRaja yang dianjurkan secara tahunan ini akan menampilkan pendekatan berbeza kali ini dengan menyasarkan penglibatan generasi muda serta komuniti bukan Islam,” jelas beliau kepada Royal Press Office (RPO) pada hari ini (15 Jun).
Menurut Dr Mohd Shafry, pengisian forum kali ini akan memberi penekanan khusus terhadap aspek kesyumulan Islam serta peranannya dalam membentuk keharmonian masyarakat.
Langkah ini juga mencerminkan keprihatinan mendalam Seri Paduka Baginda yang juga Canselor UTM terhadap masa depan dan pembentukan sahsiah generasi muda.
Terdahulu, sesi mengadap bersama Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong berlangsung di Istana Bukit Serene, Johor Bahru.